Selebriti

Keadaan Siti Sarah sangat tidak baik – Shuib

SHUIB sebak ketika menadah doa pada majlis bacaan Yassin secara virtual sebentar tadi.
- Diterbit 8 Ogos 2021 3:12 PM MYT

DIRINGI rasa sebak, pelawak popular, Shuib Sepahtu memaklumkan isterinya, Siti Sarah Raisuddin berada dalam keadaan tidak baik, ketika ini.

Shuib berkongsi hal tersebut sebelum majlis bacaan Yassin dan doa selamat yang dihadiri hampir 1,000 ahli keluarga, rakan dan dan peminat untuk Siti Sarah secara virtual dimulakan, malam ini.

“Saya dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa keadaan kesihatan Siti Sarah sangat tidak baik dan bacaan paras oksigennya pula hanya 40.

“Sekarang pihak hospital sedang cuba untuk terbalikkan Sarah,” kongsi Shuib sebelum majlis bacaan Yassin secara virtual sebentar tadi.

Terdahulu Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki dalam keadaan ditidurkan menerusi pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Biarpun dilahirkan pra matang dan menggunakan bantuan pernafasan, bayi yang akan dinamakan sebagai Ayash Affan atas pilihan Sarah itu berada dalam keadaan stabil dan semakin aktif.

Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas menjalani saringan setelah pembantu rumah disahkan positif virus maut tersebut.

Pasangan itu bernikah pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas