Fokus

Sistem pintar kitar semula

PENDUDUK menunjukkan pelekat barkod dan kad Mesra Petronas.
PENDUDUK menunjukkan pelekat bar kod dan kad mesra Petronas yang boleh ditebusguna.
- Diterbit 11 Julai 2019 4:21 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

INSIDEN pencemaran di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang kini menjadi ‘wake up call’ kepada setiap rakyat Malaysia untuk sentiasa prihatin terhadap alam sekitar. Walaupun insiden tersebut berlaku ratusan kilometer dari ibu negara, kesannya tetap dirasai setiap rakyat Malaysia kerana ia telah menjejaskan aktiviti sebahagian besar masyarakat terutama kepada pelajar sekolah yang menerima kesan teruk.

Kesan tersebut menjadi serius kerana ia melibatkan pencemaran bahan toksik dan kimia.

Peristiwa tersebut sememangnya membangkitkan kesedaran massa untuk memelihara alam sekitar agar Bumi yang diduduki ini menjadi bersih dan selamat kepada penghuninya.

Dalam hal ini, konsep kitar semula jadi salah satu mekanisme penting untuk memastikan sisa pepejal dapat diuruskan dengan lebih sistematik. Kitar semula adalah amat penting kerana sisa buangan memberikan
kesan negatif yang amat besar kepada alam sekitar semulajadi.

Penghasilan air larut resap (leachate) dan pelepasan gas metana (methane) yang dihasilkan daripada sisa pepejal yang terurai di tapak pelupusan dapat dikurangkan jika aktiviti kitar semula dapat dipertingkatkan di negara ini sekali gus membantu mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh sisa pepejal.

Sebelum ini anda mungkin ada melihat rakyat di luar negara diberikan insentif berbentuk wang tunai bagi setiap bahan kitar semula yang dimasukkan dalam sebuah mesin pengumpulan bahan terbabit.

Di Malaysia, syarikat pengurusan sisa pepejal, Alam Flora Sdn. Bhd. tampil dengan inisiatif kempen #Jom Rawat Bumi sebagai untuk mendidik rakyat menjalankan aktiviti kitar semula yamg merupakan sebahagian daripada penjagaan alam sekitar.

Menurut Pengarah Projek Alam Flora, Ismi Azura Istear Khan, program #JomRawatBumi menjadikan Putrajaya sebagai projek perintis untuk menjadikan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan ini sebagai model
kepada bandar lain.

“Kempen ini bagi menggalakkan masyarakat mengasingkan sisa pepejal di punca melibatkan empat fasa iaitu di Presint 8 dan Presint 11 pada Febuari lalu di kawasan perumahan bertingkat di Putrajaya.

“Untuk itu kami mengedarkan 20 unit tong sampah pintar berwarna oren (Smart Bin) yang ditempatkan di kawasan tersebut,” katanya kepada WK2 baru-baru ini sambil menyatakan fasa kedua yang dijadual dilaksanakan pertengahan Julai ini.

“Kawasan yang terlibat ialah di Presint 9 melibatkan edaran 23 buah ‘Smart Bin’ manakala fasa ketiga pada Ogos depan di Presint 5, Presint 6 dan Presint 18 dengan 20 tong sampah pintar akan diedarkan.

Tambahnya, fasa keempat pula dijadualkan pada November depan melibatkan Presint 14, Presint 15, Presint 16 dan Presint 17 dengan 23 Smart Bin diagihkan menjadikan keseluruhan 86 unit.

Anti curi

Kata Ismi Azura, Smart Bin yang diperkenal Alam Flora tersebut merupakan tong sampah yang diperbuat daripada besi dan tahan karat serta sukar dialihkan selain bersifat anti kecurian.

“Smart Bin itu hanya digunakan untuk orang ramai menempatkan barang kitar semula yang tidak mudah dicuri. Orang ramai tidak sesekali dibenarkan membuang sampah makanan ke dalam tong sampah pintar itu.

“Orang ramai boleh meletakkan botol, kaca, kotak dan kertas dengan kapasiti kira-kira 50 beg plastik bersaiz M,” katanya.

Apa yang menarik jelas Ismi Azura, setiap beg berisi bahan kitar semula tersebut perlu diletakkan barkod bagi membolehkan berat bahan buangan kitar semula dan pemiliknya direkodkan untuk tujuan mendapatkan mata ganjaran melalui kad Mesra Petronas.

“Jadi Alam Flora akan membekalkan satu unit pencetak barkod kepada persatuan penduduk yang berminat menyertai kempen #JomRawatBumi ini.

“Wakil persatuan akan diajar untuk mengendalikan proses pendaftaran dan kemudian memberikan bimbingan kepada penduduk yang berminat menyertai program ini,” katanya.

Jelasnya lagi, setelah pendaftaran, barkod akan dicetak pada pelekat untuk ditampal pada beg kitar semula sebelum ia dibuang ke dalam Smart Bin.

Kata Ismi Azura lagi, pihak Alam Flora akan membuat kutipan seminggu sekali dengan kesemua bahan kitar semula tersebut dikumpulkan di Pusat Pengumpulan.

“Setiap beg bahan kitar yang mempunyai barkod akan diimbas dan pemilik beg tersebut bakal menerima mata ganjaran. Sebanyak lima mata ganjaran Kad Mesra bakal diberikan untuk setiap pelekat dan ia boleh ditebus di mana-mana Stesen Petronas. Pengguna boleh memilih apa jua barangan yang bersesuaian,” katanya.

Menurut Ismi Azura, setakat seramai 400 orang penduduk telah mendaftar dengan program tersebut dan jumlahnya dijangka meningkat apabila kempen tersebut diperluaskan ke fasa berikutnya.

“Kami sentiasa membangkitkan kesedaran terhadap orang ramai untuk aktif dalam aktiviti kitar semula dan melalui inisiatif #JomRawatBumi, kami berharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyumbang
sesuatu yang bernilai untuk Bumi,” katanya.

PENDUDUK menunjukkan botol terpakai yang telah ditampal Bar Kod sebelum dibuang.
ISMI Azura Istear Khan, bersama tong sampah yang dicipta khas oleh Alam Flora.
ISMI Azura Istear Khan, bersama tong sampah yang dicipta khas oleh Alam Flora.
ALAM Flora akan membantu penduduk untuk mendaftar dan mengedarkan Kad Mesra untuk penduduk.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas