Agama

Akademi Qurra’: Mudarrisah Soufizah kecewa rombakan dibuat, Tilmiz Afif tersingkir

namun menganggapnya sebagai cabaran.
- Diterbit 23 Februari 2023 11:58 PM MYT

MUDARRISAH Soufizah, mentor Akademi Qurra’ TV AlHijrah meluahkan rasa kecewa apabila pihak produksi memutuskan tilmiz dan tilmizah di bawah didikannya bermula episod pertama iaitu Tilmiz Saifullah, Tilmiz Akasyah, Tilmizah Maghfirah dan Tilmizah Dr. Nooraini diganti dengan Tilmiz Fahmi, Tilmizah Shafiyah dan Tilmizah Nazhirah.

Rombakan itu dibuat pihak produksi di siaran episod keempat Akademi Qurra’ pada Sabtu lalu yang menyaksikan seorang lagi peserta lelaki iaitu Tilmiz Afif tersingkir keluar.

ROMBAKAN yang dibuat pihak produksi di siaran episod keempat Akademi Qurra’ pada Sabtu lalu yang menyaksikan seorang lagi peserta lelaki iaitu Tilmiz Afif tersingkir keluar.

Mudarrisah Soufizah yang nyata kurang senang dengan keputusan itu berkata, dia memang kecewa dengan pengumuman yang dibuat oleh Fakhrul UNIC selaku hos rancangan tersebut.

“Perasaan saya memang sangat sedih. Saya telah melatih kumpulan saya sebaiknya sepanjang rancangan realiti ini disiarkan. Bukan itu sahaja, pelbagai perancangan telah saya susun untuk menggilap lagi bakat mereka dengan input ilmu yang lebih berkesan.

“Rombakan ini memaksa saya untuk bermula dari awal semula. Saya harus kenal pasti kelemahan dan kekuatan Tilmiz Fahmi, Tilmizah Shafiyah dan Tilmizah Nazhirah.

“Pastinya, ia akan mengambil masa untuk saya bentuk dan pastikan anak didik baru mencapai tahap dan karektor yang saya mahukan untuk bergelar juara. Apa pun, saya terima keputusan pihak produksi dan anggap ini sebagai cabaran buat saya untuk minggu-minggu seterusnya.

“Saya berharap agar Tilmiz Saifullah, Tilmiz Akasyah, Tilmizah Maghfirah dan Tilmizah Dr. Nooraini meneruskan usaha mereka di masa hadapan, jangan berputusa asa walau bukan lagi di bawah naungan saya. Terus berguru dan baca al-Quran ini untuk diri sendiri dan juga niat kerana Allah,” katanya.

MUDARRISAH Soufizah (kanan) kecewa dengan rombakan yang dilakukan produksi, namun menganggapnya sebagai cabaran.

Dalam pada itu, Tilmiz Afif yang diuji dengan tarannum sikah dan tarannum soba gagal menambat hati barisan juri yang terdiri daripada Ustaz Ahmad Tarmizi Bin Abdul Rahman, Ustaz Hj. Azraie Abdul Hak dan Muhammad Qayyim Nizar Bin Sarimi apabila hanya mendapat 83 peratus (%) markah secara keseluruhan.

PARA perserta Akademi Qurra’ yang terus berjuang.

Menurut Tilmiz Afif, dia tidak menyangka akan berada di kedudukan kedua tercorot untuk minggu ini. Namun sebagai pemula di dalam bidang tarannum al-Quran, lambat laun pastinya akan berlaku juga.

“Saya akui bacaan tarannum saya pada episod keempat ini ada terbang di sana dan di sini kerana lagu (tarannum) yang saya terima agak sukar.

“Jujurnya pada minggu ini, bukan sahaja bacaan saya tetapi bacaan hampir kesemua tilmiz dan tilmizah merosot. Namun, saya akur dengan keputusan juri. Saya yakin, apa yang datang dari juri itu adalah apa yang datang dari Allah.

“Pesanan saya kepada rakan tilmiz dan tilmizah yang lain agar sentiasa membetulkan niat. Apa yang sedang kita lakukan ini adalah dakwah kepada mereka di luar sana agar semua tertarik dengan mukjizat al-Quran ini,” katanya.

Sementara itu, Tilmizah Nooraini yang berada di kedudukan kedua tercorot pada minggu ketiga bangkit dengan semangat baru apabila berjaya berada di kedudukan pertama minggu ini dengan mendapat 96 peratus (%) markah sekaligus diumumkan sebagai penerima Anugerah Alunan Terindah.

Selepas penyingkiran Tilmiz Afif, sembilan peserta lain yang meneruskan perjuangan pada minggu hadapan yang mengangkat tema Barisan Hadapan ialah Tilmizah Nooraini, Tilmiz Zuhdi, Tilmizah Maghfirah, Tilmiza Faridzuan, Tilmizah Shafiyah, Tilmiz Saifullah, Tilmiz Akasyah, Tilmiz Fahmi dan Tilmizah Nazhirah.

Akademi Qurra’ yang menampilkan Fakhrul UNIC selaku hos bersiaran secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam hingga 11.30 malam. Siaran ulangan boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 3 petang. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas