Artikel

Sisa pepejal bertambah

- Diterbit 4 April 2024 12:55 PM MYT

SABAN tahun pada bulan Ramadan buangan sisa pepejal pasti bertambah, termasuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini disebabkan pembaziran makanan dalam kuantiti yang banyak, daripada rumah perseorangan, restoran atau hotel yang menyediakan bufet Ramadan.

Tahun lalu Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mencatat peningkatan pembaziran makanan lebih tinggi berbanding negeri lain. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sisa Pepejal Negara (SWCorp), Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman, masing-masing mencatatkan peningkatkan 0.93 dan 0.73 peratus berbanding sebelumnya.

Pada 2023, jumlah sisa pepejal yang dilupuskan di Kuala Lumpur ialah 64,125.85 tan. Daripada jumlah tersebut sebanyak 22,732.61 tan adalah sisa makanan. Di Negeri Sembilan pula, 28,044.89 tan sisa pepejal dilupus. Sebanyak 9,941.91 tan daripadanya ialah sisa makanan.

Yang menarik perhatian kawan-kawan Kedai Kopi, pembaziran makanan begitu ketara pada bulan Ramadan. Ini berlaku mungkin kerana terdapat kecenderungan untuk makan lebih pada bulan puasa.

Alasannya siang berlapar, pada malam hari perlu makan banyak untuk mengisi semula perut yang kosong. Kerana itu apabila masak di rumah, kuantitinya berlebihan walaupun isi rumah yang hendak makan tetap sama.

Jika ke bazar Ramadan pula, segala lauk-pauk, kuih-muih atau minuman yang membangkitkan selera mahu dibeli. Semua hendak dicuba. Akhirnya balik dengan bungkusan juadah penuh di tangan.

Berapa banyak yang mampu dimakan ketika berbuka? Makan sedikit sahaja sudah kenyang. Bukan semua juadah disentuh dan dirasa. Waktu lapar memang semua hendak dimakan. Sudah makan, tidak mampu habiskan.

Tetapi ia tidak pula menjadi pengajaran. Esok lusa tetap masak lebih atau tetap mengangkut pelbagai makanan dan minuman dari bazar Ramadan. Kenapa terus bersikap begitu jika sedar makanan banyak yang tidak habis?

Makanan tidak habis biasanya dibuang, menambah kepada jumlah sisa pepejal yang perlu dilupus. Kadangkala yang belum disentuh pun turut dibuang. Sayu melihat perlakuan ini.

Kawan-kawan Kedai Kopi sedih apabila memikirkan banyak makanan dibuang kerana sikap orang ramai yang tidak mahu berjimat di bulan mulia ini. Masak atau beli makanan biar berpada menurut keperluan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas