Artikel

Syabas MAIWP tingkat kutipan zakat

PPZ-MAIWP melalui konsep promosi dan dakwah berjaya memupuk kesedaran orang ramai untuk membayar zakat.
- Diterbit 21 Januari 2022 4:04 AM MYT

SYUKUR Alhamdulillah kutipan zakat di Wilayah Persekutuan (WP) bagi tahun 2021 meningkat sembilan peratus dengan jumlah kutipan RM828 juta, tambahan RM67 juta berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM761 juta.

Daripada RM828 juta yang dikutip, sebanyak RM816 juta merupakan zakat harta manakala zakat fitrah pula RM12 juta. Kesemuanya melibatkan 1.15 juta pembayar zakat.

Pendekatan yang digunakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pengutan Zakat (PPZ-MAIWP) melalui konsep promosi dan dakwah berjaya memupuk kesedaran orang ramai membayar zakat.

Peningkatan kutipan ini sudah tentu memberi ruang selesa kepada MAIWP dalam melaksanakan tanggungjawab membela golongan asnaf di Wilayah Persekutuan, juga yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Tempias pandemik menyebabkan ramai hilang kerja dan sumber pendapatan apabila tempat mencari rezeki gulung tikar atau mengurangkan tenaga kerja. Akibatnya, ramai yang menjadi ‘asnaf segera’, termasuk yang bekerja sendiri.

Ini dapat dilihat melalui data asnaf pada 2020 berjumlah 201,779 orang kini melonjak kepada 216,515 penerima bantuan secara langsung daripada dana zakat MAIWP. Ini bermakna tambahan 14,746 penerima keseluruhannya.

Institusi zakat sejak sekian lama memainkan peranan penting membantu dan membela kepentingan umat Islam. Peranannya juga kian meluas. MAIWP sentiasa bersikap proaktif mengagih bantuan kepada penerima yang layak menurut kategori.

Misalnya, dalam suasana pandemik COVID-19, sejumlah RM105 juta diagih kepada golongan yang terjejas bermula dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 3.0. Agihan dilaksana melalui pelbagai inisiatif melibatkan golongan sasar, antaranya pemandu teksi, e-hailing serta pengusaha bas sekolah.

Di samping itu, MAIWP memperuntuk bantuan sebanyak RM35 juta di bawah program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Banjir 2.0 bagi meringankan beban mereka yang terjejas dengan bencana alam itu.

Adi difahamkan, peranan MAIWP dalam memenuhi keperluan golongan yang memerlukan terangkum dalam 30 Skim Bantuan Baitulmal MAIWP. Sehingga Disember 2021, MAIWP mengagih RM725 juta melalui pelbagai skim.

Ini termasuk untuk institusi pendidikan yang memang menjadi antara perhatian utama MAIWP. Pelajar cemerlang dalam pelajaran namun kurang berkemampuan serta menghadapi kekangan biaya untuk menimba ilmu baik di pusat pengajian tinggi, kolej atau sekolah, diberi bantuan dan biasiswa.

Selain itu, perbelanjaan MAIWP menjurus ke arah kebajikan, perbelanjaan pengurusan, bayaran amil serta perbelanjaan pembangunan dan penyelenggaraan prasarana umat Islam.

Angka kutipan zakat dan pelbagai program agihan dilaksanakan oleh MAIWP seharusnya dapat memberi jawapan memuaskan hati kepada pihak yang selama ini tertanyatanya ke arah mana kutipan dibelanjakan.

Bagi Adi, sebenarnya tidak harus wujud keraguan mengenai kebijaksanaan MAIWP membelanjakan wang zakat. Apa juga yang dilakukan adalah menurut kaedah agihan yang dibenarkan serta menurut peraturan dan undang-undang. Agihan dilakukan dengan berhati-hati dan telus.

Untuk memastikan MAIWP terus mampu melaksanakan bantuan untuk asnaf dan pelbagai program kebajikan umat Islam keseluruhannya dengan berkesan, ia perlu memperoleh hasil kutipan zakat yang tinggi. Sebaiknya, kutipan ini bertambah setiap tahun kerana keperluan agihan juga meningkat saban tahun.

Justeru amat penting wujud kesedaran di kalangan umat Islam untuk menunaikan zakat harta dan zakat fitrah kerana wang inilah yang akan dibelanjakan kembali untuk memenuhi pelbagai keperluan umat Islam di Wilayah Persekutuan.

Di pihak MAIWP sendiri pelbagai kempen membayar zakat dilakukan. Pendekatan melalui dakwah juga diberi penekanan. Kerana itulah seringkali gesaan membayar zakat ini diselit dalam khutbah Jumaat di masjid atau surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

Oleh itu, Adi berharap mereka yang tergolong di kalangan yang wajib membayar zakat, jangan sesekali alpa menunaikan kewajipan. Ingat, zakat ialah rukun Islam keempat. Berzakatlah untuk mensucikan harta. Sesungguhnya harta yang dimiliki itu sebahagiannya adalah hak orang lain.

Adi — Bayar zakat fitrah

BERHENTI DESAK KELUAR DUIT KWSP

KERAJAAN telah mengumumkan secara muktamad tidak membenarkan lagi pengeluaran di bawah mana-mana skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi kepentingan masa depan pencarum.

Namun Adi kesal setelah keputusan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, masih bertalu-talu desakan daripada pelbagai pihak, terutama pemimpin politik, yang mahu kerajaan memikirkan kembali keputusan dan membenaran pengeluaran sehingga RM10,000 melalui skim i-Citra.

Desakan ini nyata tidak menghormati keputusan kerajaan sedangkan kerajaan telah membuat pertimbangan teliti kenapa tidak membenarkan lagi pengeluaran. Setelah beberapa siri pengeluaran melalui i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra simpanan pencarum didapati menyusut dengan banyak.

Sebahagian besar daripada mereka kini mempunyai caruman di bawah RM10,000. Malah ramai pula yang caruman berada pada paras RM1,000 sahaja. Tentunya jumlah ini sangat sedikit bagi memenuhi keperluan hari tua.

Kerana prihatin dengan situasi inilah kerajaan bertindak menyekat pengeluaran berterusan. Jika ini tidak dilakukan, simpanan akan habis atau menyusut teruk sebelum sampai masa. Bertahun-tahun perlu diambil untuk menambah karung caruman. Jika sudah sampai masa umur bersara, apa akan jadi?

Adi kecewa dengan sikap segelintir pihak tertentu dan tokoh politik yang seolah-olah tidak memahami rasional yang diberi oleh kerajaan. Mereka dilihat mahu kesenangan sementara untuk pencarum tetapi tidak memikirkan masa depan mereka.

Apabila tiba masa untuk bersara nanti, dan pencarum tidak mempunyai simpanan mencukupi, siapa akan susah? Pencarum yang akan terkontang-kanting sedangkan ketika itu pemimpin politik terlibat entah ke mana dan tidak akan memperdulikan pencarum.

Pada pandangan Adi, pemimpin politik khususnya daripada parti yang mendokong kerajaan, sepatutnya berperanan membantu kerajaan memberi kesedaran kepada pencarum perlunya jangan mengusik duit simpanan.

Namun sebaliknya pemimpin ini pula yang menggalakkan pencarum mengeluarkan simpanan. Nampak mereka tidak menghormati pendirian kerajaan yang samasama didokong. Sepatutnya mereka menyokong. Janganlah isu pengeluaran dijadikan bahan mempopular diri atau mendapat nama peribadi.

Kerajaan mempunyai banyak tugas lain untuk memakmurkan negara dan rakyat ketika negara bergerak menuju era endemik COVID-19. Ekonomi negara perlu dirancakkan kembali, lebih banyak peluang pekerjaan perlu dibuka kepada rakyat.

Biarkan kerajaan memberi tumpuan kepada tugas berat ini dan jangan diganggu. Lagipun kerajaan sentiasa membantu golongan yang memerlukan, termasuk ketika insiden banjir teruk baru-baru ini. Bantuan ini mencukupi tanpa perlu mengusik caruman KWSP.

Oleh itu, Adi menyeru pemimpin politik dan mereka yang masih mendesak dibenarkan pengeluaran caruman KWSP, berhentilah berbuat demikian. Cukuplah membuat desakan. Jangan cuba mewujudkan suasana tidak harmoni. Hormati keputusan kerajaan. Kerajaan pula mesti tegas pertahan pendirian. Adi — Jimat sebelum habis – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas