Berita

SIC tangguh acara di Litar Sepang

- Diterbit 14 Mac 2020 4:31 AM MYT

KUALA LUMPUR – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) turut mengambil langkah serius bagi membendung penularan situasi Covid-19 dengan membatalkan atau menangguhkan serta-merta acara di litar itu sehingga notis selanjutnya.

Untuk itu, acara seperti latihan Asia GT, Malaysia Speed Festival (MSF) dan Desmo Cup yang dijadual berlangsung hari ini dan esok, dibatalkan.

Selain itu, pusingan pertama dan kedua Malaysia Championship Series (MCS) pada 27 hingga 29 Mac dan 10 hingga 12 April serta Malaysia Superbike Championship (MSBK) dari 2 hingga 5 April ini akan ditangguhkan ke tarikh baharu.

“SIC ingin menasihati semua untuk menitikberatkan keselamatan dan kesihatan diri serta elakkan diri daripada berada di kawasan sesak. Jika berasa tidak sihat, dapatkan nasihat dari doktor atau pegawai perubatan secepat mungkin.

“SIC akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Motorsports Association of Malaysia (MAM) untuk mendapatkan informasi lanjut mengenai situasi Covid-19,” kata SIC menerusi kenyataan hari ini.

Keputusan diambil SIC itu berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan situasi Covid-19 apabila kerajaan Malaysia memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas