Berita

KBS tangguh semua program sukan hingga 30 April

SEMUA program sukan ditangguhkan bagi elak jangkitan Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 14 Mac 2020 4:24 AM MYT

KUALA LUMPUR – Semua jenis perhimpunan, program serta acara belia dan sukan dianjurkan atau diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun agensinya ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April nanti.

Langkah berkenaan selaras dengan keputusan dan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas dan
juga keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Covid-19 semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican menegaskan, keputusan berkenaan akan diteliti semula sekiranya situasi Covid-19 bertambah baik.

“Keputusan dan peringatan pematuhan ini diambil atas sebab keutamaan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan khususnya belia dan atlet yang terbabit di pelbagai peringkat bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19 yang semakin menular,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Reezal Merican menjelaskan, KBS juga mengambil maklum langkah proaktif yang sudah diambil sebelum ini oleh beberapa badan sukan dan belia yang menangguhkan atau membatalkan program masing-masing.

Katanya, KBS juga mengambil inisiatif larangan penonton di lokasi kejohanan mengikut kesesuaian selepas mengambil kira nasihat daripada pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas