Berita

Siasatan SPRM profesional, adil tanpa sebarang niat jahat

Azam Baki
- Diterbit 28 November 2023 9:20 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan yang dijalankan terhadap pertubuhan amal milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain dilakukan secara profesional dan adil tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak.

Ketua Pesuruhjaya (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah justifikasi mengapa pembekuan aset dibuat.

“Tindakan pembekuan aset bagi membantu siasatan adalah berdasarkan Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang.

“Ia adalah tindakan yang biasa dijalankan dalam mana-mana siasatan sekiranya ada keperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam turut menegaskan SPRM dipertanggungjawab dan diamanahkan untuk menyiasat dengan adil dan tegas sebarang isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, terutamanya kes berkepentingan awam yang membabitkan ketirisan dana.

Semalam, media melaporkan, Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaunnya atau berdepan tindakan undang-undang.

Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali dilaporkan berkata, surat notis sudah dihantar mengikut Seksyen 44A AMLATFPUAA 2001 untuk perintah pembekuan akaun dibatalkan atau diubah.

Terdahulu, SPRM mengesahkan membeku sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas