Artikel

KL sebuah padang hijau

LANDSKAP taman di tengah Kuala Lumpur mendamaikan. - Gambar hiasan
- Diterbit 30 Januari 2024 10:20 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

KUALA Lumpur itu adalah padang yang hijau, tempat perantau memulakan penghidupan. Demikianlah antara gambaran yang diberikan oleh sesetengah orang tentang Kuala Lumpur yang asalnya lombong bijih timah ketika awal abad ke-19.

Dari utara hingga selatan, dari pantai barat hingga pantai timur, banyak dalam kalangan perantau memilih Kuala Lumpur sebagai tempat untuk mengubah hidup. Salah satunya kerana menghamparkan banyak peluang pekerjaan selain boleh menggilap bakat.

Banyak perantau yang dulunya berhempas pulas untuk ‘sekadar cari makan’ kini menikmati kejayaan selepas merentas fasa yang menyulitkan, mencipta nama daripada yang bukan ‘siapa-siapa’ kepada tokoh dalam bidang tertentu.

Sekalipun begitu, di sebalik padang yang hijau, Kuala Lumpur juga bukan mudah untuk dimesrai. Ia penuh dengan cabaran dan budaya hidupnya sangat mempengaruhi mereka yang rendah jati diri. Arus budaya hidup di persekitaran sangat kuat dan mudah melemaskan, sekali gus menghanyutkan.

Hanya yang meminjam sifat ikan hidup – tidak mudah dihanyutkan arus sahaja yang berjaya. Makna berjaya itu bukan sahaja daripada sudut kebendaan, tetapi juga mengekalkan nilai-nilai hidup yang tidak melanggar garis agama dan budaya.

Sebagai sebuah kota yang bertaraf metropolitan, Kuala Lumpur sememangnya penuh dengan kebendaan. Manusia kerap diukur akan keberadaan mereka dalam kelompok berstatus sosialnya tinggi dan ternama. Hal-hal yang bersifat benda kerap dijadikan pemberat dalam setiap timbangan.

Pada 2 Januari lalu genap 40 tahun saya menjadi sebahagian daripada warga Kuala Lumpur. Malah sepanjang garis masa itu jugalah saya bergelumang dalam kewartawanan yang menjadi satu kerjaya yang sangat mencabar di bandar raya ini.

Sebagai wartawan, Kuala Lumpur sebenarnya suatu tempat yang sangat mengilhamkan. Banyak kisah yang melintas di depan mata boleh diangkat sebagai karya kewartawanan. Kisah manusianya pula yang penuh warna memancarkan iktibar dan suri teladan dalam meneruskan kehidupan.

Kewartawanan tentunya bukan sahaja memetik ujaran-ujaran pemimpin termasuk yang diulang-ulang atau menjadi pendokong hayat politiknya secara tidak sedar, malah dapat menangkap perihal longkang tersumbat dan manusianya yang berbagai-bagai takdir hidupnya.

Wartawan diberi kelebihan melihat hal-hal yang terlindung daripada pandangan biasa, mempersoalkan itu dan ini tentang manusia dan menghamparkan kepada masyarakat. Kehidupan orang lain adalah cermin yang boleh dilihat sudut baik dan buruknya.

Jangka masa 40 tahun bukan suatu yang singkat dan sepanjang masa itu saya berpeluang melihat perubahan sosial dan prasarana yang berlaku di Kuala Lumpur. Ia merupakan suatu sangat dinamik. Sebagai sebuah ibu kota, Kuala Lumpur sentiasa terdedah dengan perubahan dan peredaran zaman.

Di sebalik hal-hal yang bersifat kebendaan, Kuala Lumpur juga tidak menyisihkan diri daripada berperanan sebagai sebuah kota yang mengangkat gagasan peradaban. Digerakkan sebagai sebuah kota yang mendokong tradisi ilmu dan keilmuan di tahap yang tinggi.

Beberapa institusi pendidikan tinggi yang berada di Kuala Lumpur dan kawasan di sekitarnya di Lembah Klang menyumbang pada pembangunan peradaban dan keilmuan. Semua itu telah menjulang nama ibu kota ini dalam mengimbangkan antara tuntutan pembangunan prasarana dan kemanusiaan.

Misalnya Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak yang bersempadankan Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang idea asalnya gagasan ilmuwan dan negarawan di Bangi sejak lebih setengah abad lalu.

Tidak patut dilupakan adalah Universiti Putra Malaysia (dulunya Universiti Pertanian Malaysia) di Serdang bersempadan Kuala Lumpur yang mendokong gagasan memodenkan industri pertanian. Hingga kini pertanian tetap menjadi teras Universiti Putra Malaysia.

Sambutan Jubli Emas KL

Sebuah ibu kota yang ada cita-cita peradaban dan keilmuan, tentunya ukuran tidak sahaja pada menjulangnya bangunan pencakar awan, akan tetapi iltizam dalam pembangunan hal-hal yang berkaitan manusia dan kemanusiaan.

Kuala Lumpur merupakan pusat perdagangan dan ekonomi utama negara dan menjadi tuan rumah kepada banyak konglomerat, dalam dan luar negara. Hal ini menjadikan Kuala Lumpur penyumbang terbesar pada ekonomi negara.

Di sebalik semua itu, Kuala Lumpur terus berusaha untuk menjadi sebuah taman nurani dan mengimbangi antara kerakusan kebendaan dengan ketinggian dalam hal-hal yang menyentuh nurani manusia. Kalau dulu Kuala Lumpur terkenal dengan perkampungan setinggan, kini diganti dengan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Dengan kadar sewa atau sewa beli yang rendah, PPR memberikan keselesaan dan kemudahan sosial yang jauh lebih baik berbanding rumah setinggan. Kini perkampungan setinggan sudah tidak ada di Kuala Lumpur dan pembangunan tempat kediaman kelihatan lebih tersusun.

Maknanya golongan yang kurang berkemampuan juga berpeluang mendiami Kuala Lumpur yang dekat dengan tempat kerja – di sektor awam atau swasta.

Kuala Lumpur dinaikkan taraf menjadi bandar raya pada 1972, dua tahun kemudian iaitu pada 1 Februari 1974 pula menjadi Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Kini Wilayah Persekutuan telah diperluaskan pada dua wilayah lagi – Labuan dan Putrajaya.

Daripada sudut geografinya Kuala Lumpur umpama pulau di tengah-tengah negeri Selangor dan merupakan sebuah wilayah yang tidak mempunyai kawasan perairan. Dibelah oleh dua sungai yang dulunya menjadi laluan air yang penting untuk membawa bijih timah – Sungai Gombak dan Sungai Kelang.

Sempena ulang tahun ke-50 menjadi Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur diharap terus lestari sebagai kota metropolitan yang mesra dengan penghuninya. Maknanya pembangunan prasarana perlu ada sempadan tertentu supaya Kuala Lumpur boleh ‘bernafas’ dan tidak sesak dengan bangunan yang tumbuh umpama rebung – terlalu pantas.

Kawasan hijau di tengah-tengah bandar raya bukan sahaja perlu dilestari bahkan ditambah supaya hasrat untuk menjadi Kuala Lumpur sebagai kota dalam taman tercapai dengan jayanya.

Setakat ini di sebalik kesibukannya, Kuala Lumpur memang menjanjikan ketenangan. Landskap taman di tengah kotanya mendamaikan selain terus menjadi lorong rezeki.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas