Berita

SHUIB, SARAH Bukan Ditahan Reman, Tapi Bantu Siasatan

|
- Diterbit 3 Oktober 2020 9:19 AM MYT

KHABAR angin yang tular dalam media sosial berkenaan pelawak Shuib dan isterinya, Siti Sarah ditangkap pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak benar.

Menurut peguam yang mewakili Shuib dan Sarah,  Muhammad Fadhli M. Sutris dari Fadhli Sutris & Associates, tiada sebarang penangkapan yang berlaku, sebaliknya pasangan ini dipanggil untuk membantu siasatan.

“Seperti mana berita yang telah tersebar sejak 01.10.2020, pihak kami selaku peguam yang mewakili Shuib dan Puan Siti Sarah ingin membuat penjelasan mengenai perkara yang telah berlaku melibatkan anak guam kami yang telah dipanggil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tarikh tersebut diatas.

“Tujuan kami adalah bagi menjawab sebarang khabar angin mahupun berita yang tidak sahih dan spekulasi yang telah tular di media sosial mahupun berita-berita yang diterbitkan di media cetak sejak kehadiran anak guam kami di pejabat SPRM pada hari Khamis lepas.

“Sepertimana yang telah dijelaskan oleh pihak Pengurusan bagi Shuib dan Puan Siti Sarah melalui siaran media yang telah diedarkan sebelum ini sebarang komen berkenaan kehadiran dan sebab mengapa mereka hadir di pejabat SPRM tidak dapat didedahkan buat masa ini memandangkan ia masih berada di dalam peringkat siasatan SPRM dan sebarang kenyataan mahupun keterangan berkenaan perkara tersebut akan mengganggu proses siasatan SPRM,” katanya yang menegaskan Sarah dan Shuib tidak boleh memberi sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.

SHUIB dan Sarah lega selepas menerima layanan baik SPRM dalam membantu siasatan.

Peguam mereka berharap pihak media memahami situasi yang berlaku bagi menghormati siasatan yang sedang dijalankan.

“Seperti yang telah kami nasihatkan dan untuk menghormati proses perundangan negara, anak guam mahupun pihak pengurusan mereka tidak digalakkan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara tersebut.  

“Perkara ini amatlah penting bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak SPRM.

“Ingin kami sahkan di sini bahawa anak guam kami tidak pernah ditahan reman oleh pihak SPRM mahupun terdapat sebarang permohonan reman dibuat keatas anak guam kami memandangkan kehadiran beliau di Pejabat SPRM hanyalah untuk memberi keterangan sahaja dan anakguam kami telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM sepanjang keterangan beliau diambil. 

“Untuk makluman rakaman keterangan beliau telah diambil dan selesai pada hari yang sama. Beliau kemudiannya telah dibenarkan pulang setelah selesai proses tersebut manakala kehadiran Puan Siti Sarah hanyalah untuk menemani suami beliau sahaja.

“Tiada sebarang tangkapan mahupun permohonan reman dibuat terhadap kedua-dua anak guam seperti yang telah dilaporkan beberapa media sebelum ini dan kesemua kenyataan yang bertentangan dan tular adalah tidak benar sama sekali.

“Ingin kami tekankan sekali lagi bahawa kehadiran anakguam kami hanyalah untuk membantu proses siasatan pihak SPRM sahaja dan anak guam kami telah memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan tersebut,” jelasnya lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas