Berita

Shahidan umum Rithuan dilantik CEO baharu Perbadanan Labuan

SHAHIDAN (dua dari kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada Rithuan (dua dari kanan) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) yang baharu.
- Diterbit 25 September 2022 5:00 AM MYT

BEKAS Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Rithuan Mohd Ismail telah dilantik sebagai Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Oktober 2022 hingga 30 September 2024.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, pelantikan beliau menggantikan Dr Fary Akmal Osman yang telah berkhidmat dari 10 Julai 2019 hingga 8 Oktober 2021 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.

“Pelantikan Rithuan Mohd Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang baharu adalah selaras dengan subseksyen 10(1) Akta Perbadanan Labuan 2001 [Akta 609],” katanya kepada pemberita pada sidang media di Menara Perbadanan Labuan, pada Isnin lalu.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Ibrahim Tambi. Rithuan, 54, merupakan anak kelahiran Labuan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Ekonomi dan Perakaunan).

Shahidan berkata dengan tempoh serta pengalamannya di Perbadanan Labuan selama 28 tahun mampu menerajui perbadanan itu.

“Saya percaya dengan pengalaman luas yang dimiliki beliau, beliau mampu memperkukuhkan lagi tadbir urus serta fungsi Pihak Berkuasa Tempatan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan agar terus memberi faedah kepada rakyat dan kerajaan.

“Saya bagi pihak kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan ini dan selamat menjalankan tugas kepada Rithuan Mohd Ismail,” katanya lagi.

Shahidan turut merakamkan penghargaan dan sumbangan serta khidmat bakti Dr Fary Akmal Osman sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas