Berita

Indahkan rumah kedai usang di KL

RUMAH kedai lama di Jalan Lebuh Pasar, Kuala Lumpur mempunyai nilai zamannya dan perlu dipelihara supaya tidak kelihatan usang.
- Diterbit 25 September 2022 6:00 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan bebas

APABILA berada di sesuatu tempat, tidak kira sama ada dalam atau luar negara, pertanyaan pertama saya kepada warga setempat adalah mengenai pekan lama. Akan tetapi tidak semua tempat mengekalkan pekan lama. Di sesetengah tempat pekan lama diroboh untuk didirikan pekan atau bandar baharu.

Tidak kurang juga yang menganggap pekan lama dengan bangunan kayu, walaupun masih tegap sebagai ‘mencacatkan’ pemandangan. Nilai zaman yang ada pada bangunan seperti rumah kedai yang buruk itu gagal dihayati.

Padahal binaan itu adalah latar belakang pada suatu zaman yang lampau. Keadaan zaman lampau terpancar sekali gus memberikan gambaran kepada kita akan kehidupan sosial dan budaya ketika itu. Maka sebaiknya dipulihara supaya tidak kelihatan terbiar walaupun masih digunakan sebagai premis perniagaan.

Saya faham bahawa tidak semua bangunan buruk itu mempunyai nilai warisan seperti yang digariskan oleh Jabatan Warisan Negara. Walaupun begitu nilai zaman lampau daripada berdirinya bangunan itu tetap ada. Setiap binaan membawa nilai zamannya.

Melestarikan bangunan rumah kedai lama terutama yang masih digunakan bukan sahaja memancarkan nilai sentimental, akan tetapi menjadi penghubung antara zaman lampau dan masa kini. Tiang, reka bentuk pintu dan susun letak dalaman misalnya menggambarkan zaman yang lepas.

Kegemaran saya di Kuala Lumpur adalah menyusuri hampir semua jalan dan lorong yang bangunan rumah kedai lamanya masih bersisa. Ada yang diperbuat daripada batu, tidak kurang hanya menggunakan kayu. Walaupun begitu banyak yang masih kukuh dan digunakan sebagai premis perniagaan.

Menyusuri dan berada di hadapan rumah kedai lama di Kuala Lumpur suatu yang mengasyikkan. Sebab itu saya tidak pernah jemu untuk mengunjungi tempat-tempat seperti ini berulang kali. Masa yang sama saya berupaya membayangkan wajah Kuala Lumpur suatu waktu dahulu.

Seperti yang dikatakan di atas tadi, bangunan itu bukanlah bertaraf warisan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Stesen Kereta Api Lama Kuala Lumpur atau Hotel Majestic. Bangunan-bangunan itu memang dipulihara oleh pihak berkuasa tempatan.

Akan tetapi rumah kedai yang menjadi bangunan utama di Kuala Lumpur suatu waktu dahulu tidak mempunyai nilai warisan.

Walaupun begitu keberadaan bangunan rumah kedai lama di Kuala Lumpur itu perlu juga dipulihara dan diperindahkan. Misalnya mengecat semula supaya tidak kelihatan terbiar.

Misalnya di sepanjang Jalan Tun H S Lee (dulunya Jalan Bandar), Jalan Petaling, Jalan Sultan di depan panggung Rex, di Jalan Hang Kasturi (sekarang menjadi Kasturi Walk) di tepi Central Market dan banyak kawasan sekitar Pudu. Bagaimanapun agak malang sesetengah bangunan lama ini tidak dipulihara dengan baik.

Berada di Kasturi Walk sebaris dengan Restoran Yusoof Dan Zakhir memberikan bayangan suasana Kuala Lumpur seabad yang lalu. Keadaan fizikalnya kekal seperti asal, tetapi tidak diperindahkan untuk dijadikan tarikan kepada orang yang lalu lalang.

Saya selalu membayangkan betapa indahnya jalan atau lorong yang di kiri dan kanan ada bangunan lama di Kuala Lumpur sekiranya dijaga seperti Cecil Court di London.

Mungkin ada yang menganggap saya terlalu ideal untuk menjadikan sesetengah tempat di pusat bandar Kuala Lumpur seperti Cecil Court di London.

Bagaimanapun sebenarnya ada kewajaran dan tidak menelan belanja yang terlalu besar. Kalau mungkin tidak sehebat Cecil Court sekalipun, menjadi seperti Kampung Cina di Kuala Terengganu pun sudah memadai.

Cecil Court merupakan lorong menghubungkan Charing Cross Road dan St. Martin’s Lane, satu-satunya laluan pejalan kaki yang paling dekat untuk ke Leicester Square.

Di kiri dan kanan lorong pejalan kaki ini penuh dengan bangunan yang didirikan pada abad ke-19.

Baru-baru ini saya berkesempatan menyusur jalan dan lorong sekitar bandar Taiping dan Ipoh di Perak. Banyak bangunan rumah kedai di Taiping terjaga dengan baik. Dicat dan kelihatan tidak terabai ditelan zaman.

Bagi saya Taiping menjadi hidup kerana keunikan bangunan rumah kedai di kiri dan kanan dipelihara dengan baik.

Sementara di Ipoh pula saya berkesempatan melawat satu kawasan tumpuan pelancong, Concubine Lane. Rumah kedai di Concubine Lane yang setinggi dua tingkat diperbuat daripada kayu bersambung antara satu dengan lain. Reka bentuk bahagian depannya dikekalkan dan digunakan sebagai kedai makan, cenderamata dan pakaian.

Menurut catatan sejarah, lebih 100 tahun dahulu bangunan rumah kedai itu dijadikan tempat kediaman gundik-gundik taikun bijih timah di Ipoh. Concubine Lane adalah sebahagian pekan lama Ipoh era kegemilangan bijih timah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Di sekitar kawasan Concibine Lane ini terdapat banyak lagi rumah kedai lama yang dipulihara dan digunakan sebagai premis perniagaan. Ini satu usaha yang menarik sekalipun kalau mengikut perhitungan material bangunan itu boleh sahaja diroboh dan didirikan bangunan baharu.

Kalau ke Kuala Terengganu saya selalu berlama-lama di sebuah kafe kecil di celah lorong di Kampung Cina. Bangunan rumah kedai yang diperbuat daripada kayu ini juga berusia lebih 100 tahun dan deretannya dipisahkan oleh lorong yang boleh dilalui oleh kereta.

Bangunan kayu seni bina lama ini dicat dan lorong ini diterangi dengan lampu berwarna-warni pada waktu malam. Difahamkan kerajaan negeri Terengganu memberi insentif kepada pemilik bangunan rumah kedai itu untuk mencantikkan dengan mengekalkan keaslian seni binanya.

Merentas lorong ini seperti berada pada zaman lampau, masih ada kedai runcit yang dijaga oleh wanita Cina berpakaian tradisional dan bertutur loghat Terengganu. Usaha melestarikan Kampung Cina di Kuala Terengganu suatu yang perlu dicontohi oleh pihak berkuasa tempat-tempat lain.

Saya antara yang terlalu ingin melihat bangunan rumah kedai lama di Kuala Lumpur dipulihara untuk mencantikkan dan mengekalkan keasliannya. Pihak berkuasa di Kuala Lumpur boleh memberi insentif untuk mendorong pemilik bangunan mengindahkan premis perniagaan masing-masing.

Mungkin terlalu jauh untuk menjadikan lorong yang kiri kanannya bangunan lama itu seperti Cecil Court di London. Tetapi tidaklah terlalu membebankan kalau pihak berkuasa Kuala Lumpur mengindahkan lorong berkenaan seperti yang dilakukan di Kampung Cina di Kuala Terengganu atau Concubine Lane di Ipoh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas