Berita

Shahidan lancar kempen tanam sejuta pokok di Labuan, atasi hakisan pantai

SHAHIDAN bersama Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar menanam pokok Bakau Minyak di Pantai Nagalang sebagai simbolik kempen sejuta pokok.
- Diterbit 10 Oktober 2021 12:00 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Ahad menanam pokok Bakau Minyak (Rhizophora apiculata) di Pantai Nagalang, Labuan sebagai simbol pelancaran ‘Kempen Tanam Sejuta Pokok 2021-2025’ di Wilayah Persekutuan.

Menerusi program yang bertemakan ‘Menghijaukan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’, beliau berkata, ia dilaksanakan berdasarkan konsep hutan bandar dan
pembungaan bandar yang menyasarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menanam 500,000 pokok, 400,000 pokok (Perbadanan Putrajaya) dan 100,000 pokok bagi Perbadanan Labuan.

Shahidan berkata, Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah meluluskan peruntukan RM250,000 di bawah Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) untuk inisiatif memajukan hutan bakau dan kehidupan marin kawasan hutan bakau di Labuan.

“Bagi peringkat awal pelaksanaan inisiatif itu di Labuan, ia akan memfokuskan penanaman 9,250 pokok bakau di enam lokasi iaitu Pantai Nelayan Kampung Tanjung Aru; Pantai Kampung Tanjung Aru/ Kerupang; Pusat Ekopelancongan Paya Bakau Kinabenuwa; Sungai Kampung Gersik; muara sungai di Kampung Ganggarak dan Taman Botani Labuan.

“Hari ini 100 pokok bakau akan ditanam di Pantai Nagalang/ Kerupang dan akan direkodkan dalam pelaksanaan menghijaukan Malaysia…antara spesies pokok termasuk Bakau Kurap, Bakau Minyak, Bakau Putih dan Api-Api Hitam,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Tanam Sejuta Pokok 2021-2025 di Pantai
Nagalang Ahad lalu.

Shahidan berkata, tujuan menanam pokok bakau di tebing sungai, muara dan di sepanjang pesisir pantai adalah untuk mengurangkan risiko hakisan.

“Sebanyak 5,000 pokok bakau akan ditanam di sepanjang pantai Kg Tanjung Aru, Nagalang, Kerupang tahun ini untuk mengurangkan risiko hakisan pantai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas