Berita

Rancakkan semula ekonomi Labuan

SHAHIDAN (tengah) diiringi timbalannya, Jalaluddin (kanan) ketika melawat perkampungan air di Kampung Air Patau-Patau bagi melihat sendiri projek penanaman fertigasi, kawasan perindustrian baik pulih engin sangkut serta
- Diterbit 10 Oktober 2021 12:00 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Sabtu lalu mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Labuan bagi meneliti kemajuan ekonomi dan kesejahteraan warga wilayah itu.

Beliau berkata, lawatan kerja selama dua hari itu merupakan lawatan sulungnya selepas mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia selaku
Menteri Wilayah Persekutuan pada 30 Ogos lalu.

“Syukur alhamdulillah pada pagi ini (Sabtu), saya dan delegasi Kementerian Wilayah Persekutuan selamat sampai ke Labuan.

“Diharapkan lawatan saya selama dua hari dapat meningkatkan kualiti kehidupan, kesejahteraan serta kemajuan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai langkah-langkah kementeriannya dalam mengatasi kelembapan sektor ekonomi di Labuan, Shahidan berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bakal menganjurkan satu forum ekonomi di pulau berkenaan bagi membincangkan isu-isu pembangunannya.

Katanya, penganjuran forum itu bertujuan membantu meningkatkan semula ekonomi di Labuan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“KWP akan melaksanakan pelbagai usaha termasuklah mengadakan penganjuran forum ekonomi bagi membantu memulihkan ekonomi pulau itu.

“Bagi kami di kementerian, Labuan perlu terus berkembang dengan tarikan ekonominya dan kami mahu ia kembali ke era kegemilangannya,” katanya semasa meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Darul Kifayah MAIWP, Labuan.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat satu perancangan pembangunan bagi jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi Labuan terus berkembang maju dan demi kesejahteraan warga di pulau itu.

Beliau berkata, antara tarikan Labuan ialah status bebas cukainya yang kini seolah-olah terhakis kerana tidak semua barang yang dibayar adalah bebas cukai.

“Status bebas cukai Labuan sedang diteliti untuk menjadikannya lebih menarik kerana ia boleh menjadi faktor penarik atau penolak, dan ini adalah antara isu yang harus ditangani.

“Saya akan membincangkan isu ekonomi Labuan dengan Perdana Menteri untuk melihat bagaimana kita boleh memacu ekonomi Wilayah Persekutuan ini ke era
kegemilangannya seperti sebelum ini. Ini adalah antara cabaran yang harus kita hadapi dan saya tidak melihat perkara ini sebagai satu masalah,” katanya.

FOKUS JAMBATAN LABUAN-SABAH

Terdahulu, Shahidan bersama timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut mengadakan lawatan turun padang (TUPA) Projek Jambatan Labuan – Sabah di kawasan pesisir pantai Sawangan Cina di sini, pada Sabtu lalu.

Menurutnya, KWP melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membuat tawaran secara Request for Proposal (RFP) bagi cadangan pembinaan projek itu secara Kerjasama Awam dan Swasta (PPP).

Shahidan berkata, iklan mengenai projek itu telah menarik minat pelbagai syarikat swasta untuk menyertai RFP dan membeli dokumennya.

“Mesyuarat Jawatankuasa Induk 1 pada 24 Ogos lalu telah mempertimbangkan dua syarikat berkaitan pelanjutan RFP dan Jawatankuasa Induk 1 bersetuju penutupan RFP tamat pada 1 November ini.

Jelas beliau, pelanjutan itu terpakai kepada semua syarikat yang menyertai RFP.

Selain itu katanya, terdapat keperluan lain yang perlu diambil kira seperti pembangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baharu.

“Ianya termasuk kajian-kajian teknikal melibatkan traik darat dan marin, kajian EIA, hidraulik dan sebagainya yang terkandung di dalam RFP tersebut,” katanya lagi. Pada hari kedua lawatan kerjanya di Labuan, Shahidan turut berkesempatan melawat perkampungan air Kampung Air Patau-Patau bagi melihat sendiri projek penanaman fertigasi, kawasan perindustrian baik pulih engin sangkut dan pengusaha bot pelancongan.

Turut mengiringi, Timbalannya, Jalaluddin; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar; Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman dan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussein. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas