Berita

Shahidan-Khalid bertikam lidah isu Kampung Baru

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bertikam lidah dengan Khalid Abd Samad ketika sesi penggulungan peringkat Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.
- Diterbit 23 September 2021 3:32 PM MYT

PERTIKAMAN lidah antara Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dengan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) melibatkan pembangunan Kampung Baru ketika sesi penggulungan peringkat Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Menurut Shahidan , pembelian keseluruhan tanah di Kampung Baru yang melibatkan peruntukan sebanyak RM7 bilion tidak pernah dipohon dan beliau turut mempersoalkan sumber kewangan untuk pembelian tersebut.

“Maklumat kos ini telah dibentangkan melalui Nota Jemaah Menteri pada 8 September 2020 dan didapati pembelian tanah ini melibatkan kos yang tinggi dan tiada model pembiayaan dan tiada sumber dana diperuntukkan bagi pembelian tanah tersebut.

“Oleh yang demikian, pendekatan pelaksanaan tawaran yang dibuat pada ketika itu adalah tidak berlandaskan kepada mana-mana sumber peruntukan daripada kerajaan,” katanya.

Melalui penjelasan yang diberikan, Khalid tidak berpuas hati malah menegaskan bahawa ia bukan soal peruntukan kewangan kerana ia boleh diperolehi daripada beberapa sumber.

“Kerajaan mampu memperolehi banyak sumber kewangan dan kita ada Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, yang penting adalah persetujuan untuk menjual.

“Sepatutnya pada Jun 2020 kerajaan ketika itu mampu mencapai 80 peratus persetujuan untuk menjual tanah di Kampung Baru.

“Inilah yang diusahakan oleh kementerian ketika itu tetapi dihentikan apabila Pakatan Harapan dijatuhkan,” katanya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudian meminta Shahidan mengakhiri penggulungannya dan seterusnya menghentikan perbalahan itu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas