Berita

Shahidan ‘buka pintu’ untuk semua MP Wilayah Persekutuan

SHAHIDAN (duduk dua dari kanan) sempat mengadakan pertemuan bersama beberapa Ahli Parlimen di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu dan permasalahan ibu negara, sebelum ke sidang Dewan Rakyat pada 15 September lalu.
- Diterbit 24 September 2021 3:30 AM MYT

MENDEPANI cabaran menguruskan warga kota sudah pasti menuntut kerjasama semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang demi menjayakan harapan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 terutama di dalam fasa pemulihan ini.

Justeru, kesemuanya diseru untuk mengenepikan kepentingan peribadi mahupun jalur fikir yang tentunya berbeza demi kemaslahatan bersama.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menjadi lokomotif menggerakkan perubahan di Wilayah Persekutuan pastinya giat berikhtiar untuk mencari penawar demi keselesaan warganya termasuklah meredakan keresahan golongan rentan yang memerlukan sokongan daripada kerajaan untuk meneruskan kehidupan.

Bagi mencapai maksud tersebut, Shahidan ‘membuka pintu’ dan memberikan ruang kepada semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan untuk mencari titik persamaan dan mencari kaedah serta cara untuk membantu rakyat mendepani masalah sejagat bersama-sama dengannya selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ seperti yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berkata mengenainya, konsep buka pintu yang perlu diamalkan akan membuka lembaran baharu untuk menggembleng tenaga keseluruhan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan di samping memainkan peranan membantu rakyat ketika dalam kesusahan.

Bagi Shahidan, semua pihak mestilah mempunyai peranan dan tangungjawab masing-masing untuk membangunkan kawasan serta menjaga kebajikan rakyat harus menjadi agenda bersama-sama dan seterusnya membawa perubahan kepada Wilayah Persekutuan.

Bercakap mengenainya, Shahidan menyifatkan kesediaan Ahli Parlimen Kuala Lumpur bersedia bertemu dengannya merupakan perkembangan yang bagus demi kemakmuran bersama.

“Perdana Menteri sendiri menunjukkan tauladan yang baik untuk bekerjsama dan memberi perhatian kepada rakyat. Malah beliau turut menyarankan kepada semua untuk mendengar masalah rakyat dan menyelesaikan yang dihadapi mereka.

“Oleh yang demikian, itulah matlamat kita bersama dan kerjasama dengan semua pihak termasuklah pemimpin politik di peringkat bahagian dan Ahli Parlimen, maka ia boleh menjurus kepada perubahan yang kita bawa untuk hari ini kerana ia adalah untuk kepentingan bersama,” katanya kepada Wilayahku selepas Program Turun Padang di Taman Tasik Permaisuri pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Jelas Shahidan, konsep yang diamalkan iaitu membuka pintu kepada semua pihak adalah untuk kebaikan rakyat dan ia juga selaras dengan konsep muafakat demi membantu rakyat seperti yang diinginkan semua pihak.

“Semua pihak boleh bertemu dan berbincang untuk kepentingan rakyat. Ahli Parlimen pembangkang pun tadi, boleh kata mereka berjumpa dengan saya setiap hari untuk berbincang mengenai kawasan masing-masing.

“Malah mereka juga melihat supaya perubahan yang kita bawa adalah untuk kepentingan bersama dan mengenepikan politik dan dahulukan rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Arau itu turut dilihat memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan beliau bersama-sama dengan beberapa Ahli Parlimen pembangkang selepas mengadakan pertemuan dengan mereka bagi membincangkan isu dan permasalahan di Kuala Lumpur. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas