Berita

DBKL untung RM300,000 setahun hasil sewa Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur

MENURUT DBKL Tempoh penyewaan adalah selama tiga tahun mulai 1 Julai 2021 sehingga 30 Jun 2024 bagi tujuan pengurusan dan penyelenggaraan stadium.
- Diterbit 23 September 2021 2:18 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapat keuntungan RM300,000 setahun melalui pulangan kadar sewa berbanding sebelum ini ketika ia diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Katanya, DBKL telah menyewakan kepada Tetuan Arcadin Services Sdn Bhd iaitu syarikat yang memiliki 50 peratus saham dalam penswastaan pasukan KL United FC.

“Tempoh penyewaan adalah selama tiga tahun mulai 1 Julai 2021 sehingga 30 Jun 2024 bagi tujuan pengurusan dan penyelenggaraan stadium dan telah memberi pulangan kadar sewa kepada DBKL berjumlah RM25,000.00 sebulan,” katanya ketika sesi penggulungan peringkat Kementerian Wilayah Persekutuan di parlimen hari ini.

Jelasnya, melalui perjanjian penyewaan bertarikh 10 September 2021, pihak penyewa bertanggungjawab secara keseluruhan bagi perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

“Ia meliputi kerja – kerja pembersihan, kawalan keselamatan, penyelenggaraan padang, penyelenggaraan bangunan (termasuk awam, mekanikal, elektrikal dan elektronik), pengurusan tempat letak kereta,
promosi dan lain – lain,” katanya.

Tambahnya, melalui penyewaan tersebut ia telah memberi keuntungan kepada DBKL malah ia lebih baik dari amalan sebelumnya di mana stadium di serahkan kepada KLFA dan DBKL terpaksa membayar kos penyelenggaraan yang berjumlah RM1.78 juta (RM1,786,564) setahun kepada KLFA.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas