Artikel

Sentuhan magis Bee Ramza jadi pilihan

BEE RAMZA
- Diterbit 2 Disember 2019 4:59 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

Mungkin nama Robaeha Ramza kedengaran agik asing namun jika disebut Bee Ramza pasti ramai yang mengenali jurusolek artis (MUA) ini. Bertubuh kecil molek, Bee sangat dikenali dalam kalangan artis dan selebriti tanah air.

Hasil sentuhan tangannya tidak pernah menghampakan malah sehingga kini, wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini telah menyolek ramai selebriti terkenal di Malaysia mahu pun luar negara.

Berkongsi pengalaman manis yang tidak dapat dilupakannya, wanita jelita ini teruja apabila berpengalaman menyolek penyanyi pujaan ramai yang tidak asing lagi iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menyifatkan ia pengalaman yang amat berharga dalam kariernya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini berkata, dia bersyukur kerana artis ternama tersebut memilih dirinya dalam ribuan jurumekap yang ada.

“Ketika itu, saya dipanggil untuk menyoleknya bagi satu program hiburan televisyen dan selepas beberapa ketika, khidmat saya digunakan sekali lagi apabila dibawa ke Jakarta, Indonesia untuk konsert ulang tahun televisyen di sana,” ujar wanita yang murah dengan senyuman ini.

Antara selebriti yang pernah mendapat sentuhan hasil kerja tangannya adalah penyanyi legenda negara seberang iaitu, Hetty Koes Endang, Janna Nick, Mira Filzah, Mawar Rashid, Lisa Surihani dan ramai lagi.

Mengorak langkah jauh ke hadapan, di samping meluaskan kerjaya sebagai MUA, Bee kini telah membuka sebuah studio, Ramza Studio di Alam Avenue, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.

Dalam masa yang sama, studio ter­sebut turut dibuka kepada pihak luar yang ingin mengadakan sesi penggambaran.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas rezeki yang dikurniakan. Penat lelah selama ini berbaloi kerana akhirnya ia menampakkan hasil. Selain itu, saya juga menjalankan bisnes kanta lekap, @lavue.co bagi menaikkan lagi seri wajah mereka yang mengenakan solekan,” ujarnya.

Bee juga dikira beruntung kerana barisan selebriti terkenal seperti Vie Shantie Khan, Nora Danish, Sweet Qismina dan ramai lagi turut menggunakan kanta lekap keluarannya yang dijual di ramzamode.com.

Berkongsi pandangan tentang dunia solekan hari ini, Bee mengakui ketika dia mula berjinak-jinak dalam dunia solekan sekitar 2010, ketika itu, platform media sosial tidaklah sehebat hari ini yang mana semua ilmu solekan hanya dihujung jari.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas