Artikel

Seni Bangsawan warisan negara

RAHMAN B di kediamannya yang dijadikan galeri menyimpan peralatan pementasan Seni Bangsawan.
- Diterbit 6 Disember 2019 12:09 AM MYT

BANGSAWAN adalah opera Melayu tradisional yang merangkumi drama, tarian dan muzik yang bermula awal abad ke-20.

Ia merupakan seni persembahan yang terkenal sebelum kehadiran pawagam. Bahkan, pada tahun-tahun awal filem Melayu, ramai pelakon telah direkrut daripada golongan Bangsawan.

Bagi Seniman Negara ke-6, Abdul Rahman Bakar, 84, atau lebih dikenali sebagai Rahman B, pementasan seni bangsawan mesti mengangkat sejarah negara menerusi kisah kesultanan Melayu, pahlawan, anak derhaka dan lain-lain.

RAHMAN B melihat keris yang pernah digunakannya sewaktu pementasan Seni Bangsawan satu ketika dahulu.

“Watak-watak yang diperkenalkan di dalam pementasan itu adalah pahlawan negara, pembesar-pembesar dan juga kesultanan Melayu dahulu kala.

“Melalui pementasan seni ini juga, generasi muda dapat mempelajari sejarah dan latar belakang serta situasi ketika itu.

“Selain itu, penonton dapat mempelajari adat istiadat yang diamalkan seperti adab ketika menghadap raja, cara bercakap dengan raja dan cara raja bercakap dengan rakyat,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

Kata Rahman B, seni persembahan bangsawan bukan mudah untuk diceburi kerana ia padat dengan adat Melayu malah
pelakon perlu menjiwainya supaya emosi serta watak dapat diterapkan di dalam setiap persembahan.

PERALATAN musik dan perhiasan dipamerkan kepada orang ramai.

“Bahasa bangsawan pula tidak sama dengan lenggok drama atau filem yang lain kerana ia menggunakan bahasa klasik.

“Sebagai contoh, perkataan ‘cerita’ tidak digunakan sebaliknya pelakon akan menggunakan perkataan ‘citra’ ketika pementasan berlangsung,” katanya.

Ujar Rahman B, banyak perkara-perkara yang bersifat teknikal untuk menjadikan persembahan yang dilakukan menepati syarat dan keaslian golongan Bangsawan.

Titik berat adat diraja

Malah semasa persembahan yang melibatkan cerita kesultanan, upacara mengangkat sembah kepada raja merupakan perkara yang amat dititik beratkan.

“Sekiranya seseorang itu mengangkat sembah kepada raja, ia mempunyai bahasa yang tersendiri, jika kedua belah tangan diangkat di posisi dahi dan kepala bermaksud untuk menjunjung titah.

PAKAIAN yang digunakan dahulu turut disimpan dan dijaga.

“Apabila kedudukan mengangkat sembah berada di posisi bibir ia memberi maksud perkataan yang benar dan sekiranya mengangkat sembah di posisi dada, ia membawa maksud ‘hati yang bersih’,” jelasnya.

Beliau yang juga mewarisi seni bangsawan daripada bapanya, Abu Bakar Ismail atau Bakar M dan ibunya, Kasminah Taib yang lebih dikenali sebagai Minah B berkata, sekiranya seseorang pelakon hendak melakukan pergerakan dari kiri ke kanan ketika pementasan sedang berlangsung, mereka perlu bergerak secara tertib dan selari tanpa membelakangkan penonton.

Menurut Rahman B, persembahan bangsawan pada masa dahulu juga merupakan satu persembahan teater Melayu dan beliau sendiri mengakui ia merupakan satu perkara yang sukar untuk dipelajari.

LAMPU dan Pencahayaan yang digunakan dahulu masih disimpan dengan baik.

Ujarnya, tidak dinafikan terdapat penggiat teater dan drama yang mahu membuat pementasan bangsawan bagi menghidupkan balik warisan itu. “Apa yang menjadikan sesebuah pementasan tempang dan seterusnya menjadi biasa adalah pakaian pelakon yang tidak betul serta adat istiadat yang tidak menepati persembahan itu.

“Selain itu, setiap gerakan seperti mengangkat sembah mempunyai maksud tertentu dan bilangan sembah yang diangkat ketika menghadap raja,” katanya.

Jelasnya, perkara tersebut berlaku apabila mereka tidak mendalami seni bangsawan ini, maka ia tidak menjaga keaslian seni persembahan sehingga dilihat bercampur aduk seperti teater yang lain.

Kata Rahman B, apabila bangsawan menghadapi zaman malap akibat kemunculan filem pada dekad 1950-an, beliau tetap mementaskan bangsawan.

PERALATAN disusun dan dijaga dengan rapi.

“Pada 1953, saya berhijrah ke Singapura dan sempat berlakon filem antaranya Amuk Tok Nading, Kancan Tirana, Harimau Berantai dan Semambu Kuning.

“Ketika itu, saya turut menerajui Persatuan Bangsawan Bintang Timur pada 1974 dan melalui persatuan itu, saya menerbitkan lima drama untuk siaran RTM, iaitu Si Bongkok Tanjung Puteri, Meniti Ke Neraka, Istana Iman, Megat Panji Alam dan Buluh Rencung,” katanya.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa karya bangsawan yang diangkat ke layar perak oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Filem Tiga Abdul diolah P. Ramlee dari karya asal ‘Abu Jenaka’, Damaq dari karya ‘Hujan Darah Pantai Bidara’, dan Nujum Pak Belalang,” katanya.

Kata Rahman B. lagi, beliau mengimpikan untuk membuka sebuah akademi dan galeri bangsawan serta pementasan terbesar memandangkan usianya telah lanjut.

PEMBESAR suara lama juga disimpan untuk dipaparkan kepada orang ramai.

“Akademi Bangsawan ini adalah untuk melengkapkan generasi muda mengenai apa yang ada di dalam bangsawan sekali gus membolehkan mereka meneruskan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya.

“Galeri pula untuk meletakkan koleksi peribadi yang ada di dalam simpanan saya agar set yang ada seperti pakaian istiadat, pentas, balairong seri istana, pakaian golongan Bangsawan dan lain-lain dapat dijaga dengan baik dan dipertontonkan kepada orang ramai.

“Selain itu juga, kesemua koleksi keris, alatan muzik juga akan diletakkan di galeri tersebut,” katanya yang mengimpikan untuk membuat pementasan terbesar agar warisan ini dapat dipertontonkan seterusnya dapat membangkitkan minat generasi muda yang meminati seni dan warisan negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas