Berita

Sentuhan asli dua jurulatih baharu ditagih BAM

REGU lelaki dan wanita badminton negara dapat sentuhan jurulatih baharu.
- Diterbit 1 Julai 2020 6:00 AM MYT

DUA jurulatih baharu, Chan Chong Min dan Flandy Limpele akan diberi kebebasan untuk mencorakkan sendiri program latihan kepada pemain di bawah kendalian mereka.

Itu yang disampaikan okeh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Han ketika mengulas mengenai perlantikan dua jurulatih bagi mengendalikan pasukan beregu lelaki dan wanita negara.

Menurut Choong Hann, dengan cara berkenaan kedua-dua jurulatih beregu wanita dan lelaki itu dapat menjaga keaslian program latihan masing-masing tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

“Saya rasa mereka sudah ada perancangan, kita serahkan semuanya kepada mereka. Biar mereka melihat dan menilai dengan mata sendiri pemain yang sedia ada,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kedua-dua jurulatih berkenaan harus diberikan peluang untuk memahami pemain dibawah mereka.

“Selepas itu barulah kita boleh melakukan penambahbaikan tapi bukan tukar atau pantau semua program mereka. Paling penting pemain boleh menyesuaikan diri dengan pengajaran baharu.

“Buat masa sekarang kita boleh sahaja mempersiapkan program latihan agar pemain dalam keadaan bersedia. Masalahnya kejohanan masih belum tentu dapat diadakan atau belum. Pemain pun tertanya-tanya,” katanya.

Chong Ming dan Flandy dijangka melapor diri untuk memulakan tugasan mereka awal bulan depan.

Chan Chong Min merupakan bekas pemain beregu badminton negara yang pernah memenangi tiga pingat emas Sukan Komanwel manakala Flandy Limpele pula merupakan bekas pemain badminton Indonesia yang pernah merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik Athens 2004. -WILAYAHKU

Oleh: Muhamad Nizam

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas