Berita

DBKL bina asrama untuk pekerja pasar borong

ANNUAR (kiri) dan Nor Hisham (dua dari kiri) mendengar luahan daripada peniaga tempatan ketika turun padang di pasar borong hari ini. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 30 Jun 2020 4:41 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina sebuah asrama untuk pekerja pasar borong yang tinggal jauh daripada kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, bagi tujuan itu, DBKL bersedia untuk menyediakan kemudahan asrama kepada warga tempatan dan ia dapat memudahkan peniaga mengambil pekerja tempatan.

“DBKL telah mengenalpasti sebuah rumah kedai dua tingkat di belakang pasar borong tersebut telah diambil alih untuk program tersebut.

“Mana-mana pekerja yang tinggal agak berjauhan sedikit, kerana mereka perlu bekerja pada masa tertentu dan perlu duduk dekat dengan pasar borong, jadi DBKL akan mengambil 10 unit bangunan dua tingkat dan dijadikan tempat tinggal.

“Dan kalau ada unit-unit yang kosong, saya telah memberitahu kepada Datuk Bandar untuk mengambilnya lagi supaya kita dapat sediakan seberapa banyak tempat tinggal yang dekat dengan pekerja,” katanya kepada pemberita selepas turun padang untuk meninjau keadaan Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Annuar turut mengucapkan tahniah kepada pihak DBKL kerana telah berjaya mengawal keadaan di Pasar Borong Kuala Lumpur

Menurut Annuar, peniaga-peniaga mengakui pekerja tempatan ini lebih baik dan lebih bersih berbanding pekerja asing sebelum ini

Kalau dahulu mereka berdepan dengan masalah barang hilang, mudah berlaku kecurian dan keselamatan, kini masalah tersebut tidak ada lagi.

“Ia merupakan satu perkembangan yang baik kerana pemborong sendiri turut menyokong apa yang dilakukan oleh kerajaan.

Saya harap keadaan itu dikekalkan dan terus menggunakan pekerja tempatan dan amalkan dasar ‘Zero Foreign Workers’ bagi pasar borong,” katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, DBKL telah membelanjakan kira-kira RM23,000 untuk kerja-kerja ubah suai bangunan rumah kedai tersebut.

“Setakat ini, asrama itu boleh menmpatkan kira-kira 200 orang dan dan buat masa ini, kesemua pekerja di sini (pasar borong) adalah lelaki sahaja.

“Kita akan sediakan katil dan beberapa peralatan asas untuk asrama tersebut dengan bayaran RM100 sebulan dan mereka perlu mengisi borang di Pejabat DBKL yang beroperasi di pasar borong,” katanya. -Oleh AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas