Berita

‘Ubi Malaysia’ laku keras di Eropah

AKSI Mubashshir ketika mewakili FC Malaga City.
- Diterbit 1 Julai 2020 6:24 AM MYT

TERNYATA masa hadapan bola sepak Malaysia semakin bersinar apabila beberapa pemain muda negara berjaya menarik perhatian beberapa kelab bola sepak di Eropah.

Selain penyerang sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin yang juga produk kelahiran Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) menerima tawaran dari Kelab KV Kortrijk dari Belgium, beberapa lagi ‘ubi muda’ negara turut menarik perhatian kelab-kelab di Eropah.

Antaranya Ahmad Mubashshir Azizi yang kini bersama Akademi Bola Sepak FC Malaga City yang berpangkalan di Sepanyol.

Mubashshir yang bermain di posisi pertahanan sebelum ini turut ditawarkan bersama kelab EPL, Burnley FC namun disebabkan kesukaran mendapatkan visa, dia akhirnya memilih FC Malaga City yang turut dilabel antara akademi profesional terbaik di Eropah.

BINTANG bola sepak muda yang semakin bersinar.

“Ayah saya hantar pergi latihan selama dua minggu di United Kingdom (UK) Football Trials dan merekalah yang mencadangkan nama saya di FC Malaga City. Di samping itu, saya juga ada pergi ke beberapa kelab di UK antaranya Burnley FC and Leyton FC.

“Saya terpilih ke (Burnley FC) tetapi atas masalah nak dapatkan visa jadi saya terpaksa lupakan hasrat itu dan memilih FC Malaga City di Sepanyol.

“Memang tahap permainan bola sepak di Eropah agak berbeza dengan di sini (Malaysia). Kalau boleh saya nak teruskan bermain di Sepanyol dan harap dapat sertai mana-mana kelab di sana atau pasukan lain di Eropah,” tambahnya lagi.

Pemain berusia 18 tahun kelahiran Kuala Lumpur ini juga berazam untuk menempa nama sebagai rakyat Malaysia pertama meraih kontrak profesional di Sepanyol dan dia juga menanam impian untuk beraksi dalam saingan LaLiga yang diketahui antara liga terbaik dunia selain Liga Perdana Inggeris (EPL) di England, Bundesliga (Jerman), Seria A (Itali) dan Ligue 1 (Perancis).

Selain Mubashshir, tiga lagi pemain muda negara berjaya mengetuk pintu akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City iaitu Allee Putra Azril, Aniq Asri Nasharudin Elias (anak penyanyi Nash) dan M Devekumaran. Manakala Omar Raiyan Kama Azlan disahkan sudah menandatangani kontrak dengan kelab terkemuka Serbia, Red Star Belgrade.-WILAYAHKU

Oleh: Muhamad Nizam

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas