Berita

Senjata rahsia kejayaan antarabangsa

SHARMEEN memenangi pertandingan nyanyian, Voice of Kunkwan.
- Diterbit 29 Ogos 2021 1:00 AM MYT

BERTERASKAN perkembangan tradisi dan kebudayaan masa ini, Kunkwan International Mandarin Learning Centre menganjurkan Program Voice Of Kunkwan secara virtual pada 21 Ogos lalu.

Dirasmikan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, program nyanyian yang berlangsung selama tiga jam itu merupakan platform untuk menyerlahkan bakat sekali gus meningkatkan penguasaan Bahasa Mandarin.

Berkata mengenai program itu, Dr Sheikh Muszaphar memberitahu, Bahasa Mandarin adalah bahasa yang paling banyak dituturkan di dunia, iaitu melebihi 1.2 billion dan kebolehan bertutur menggunakannya akan menjadi senjata rahsia untuk bersaing terutama dalam alam pekerjaan.

“Penguasaan Bahasa Mandarin amat penting terhadap masyarakat terutamanya golongan anak muda.

“Saya sendiri telah mengambil langkah pertama dengan menghantar anak-anak ke sekolah Cina supaya mereka mempunyai kelebihan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan program.

Terdahulu, Program Voice Of Kunkwan yang diadakan menerusi aplikasi Zoom, ditonton lebih 900 individu yang terdiri daripada peserta serta pelajar kursus Mandarin.

Pertandingan ini diadili oleh Mark Adam, Bunga, Kent Ng dan Ms Au. Juara bagi Voice Of Kunkwan disandang peserta dari Pulau Pinang, Sharmeen Farahim, 22, manakala Naib juara dimenangi Salehuddin Ashraf Jamil dan tempat ketiga diraih, Nurul Amira. Ketiga-tiga mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,076.

Bagi Sharmeen yang pernah bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sewaktu berumur lima hingga enam tahun, dia merasakan satu kerugian besar kerana tidak mampu lagi untuk bertutur dalam bahasa Mandarin.

Oleh itu, katanya, menyertai kelas online Mandarin dari Kunkwan dapat membantunya mempelajari banyak perkara termasuk perkataan asas Mandarin.

“Saya amat gembira kerana pertama kali menyertai program berprestij seperti ini dan menang. Saya menganggap ini sebagai peluang untuk saya melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian,” katanya.

Untuk makluman, matlamat utama penubuhan Kunkwan adalah bagi meningkatkan kebolehan berbahasa bagi semua rakyat Malaysia yang tidak menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa ibunda sekali gus meningkatkan daya saing. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas