Berita

The 5 Elements Hotel agih sumbangan makanan

PETUGAS The 5 Elements Hotel agih sumbangan kepada golongan memerlukan, baru-baru ini.
- Diterbit 29 Ogos 2021 1:00 AM MYT

SELARI matlamat ‘Ukirkan Senyuman Pada Yang Memerlukan’, The 5 Elements Hotel mewujudkan Warong Kak Delima bagi mengagihkan sumbangan makanan kepada golongan memerlukan.

Berbentuk pendampingan sosial, program dianjurkan bagi mendekatkan orang perseorangan dan warga korporat kepada golongan terkesan susulan penularan wabak COVID-19 khususnya mereka yang daif, miskin dan sukar mendapat bantuan makanan secara khusus.

Menurut jurucakapnya, senario semasa juga memperlihatkan keprihatinan pihak The 5 Elements Hotel kepada permasalahan dan kesukaran yang dialami individu, keluarga dan komuniti yang dianggap terpinggir daripada arus kehidupan serta memerlukan pertolongan atau bantuan tambahan.

“Menyedari akan kekangan hidup yang dialami oleh golongan berkenaan, maka pihak The 5 Elements Hotel menyediakan program pengagihan makanan melalui usaha mengoptimumkan sumber sedia ada antara orang perseorangan, badan-badan korporat dan komuniti secara kolaborasi strategik.

“Dengan hanya RM600 anda bakal mengukir senyuman kepada 100 orang yang amat memerlukan. Pihak The 5 Elements Hotel menyediakan pek-pek makanan yang boleh dibeli dan kami mempunyai senarai pengagihan kepada mereka yang wajar disantuni.

“Kami amat terharu dengan sambutan yang diberi penyumbang kerana ia melangkaui sempadan antarabangsa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas