Berita

Kelas digital SPM Mahir Tutor lebih kerap diakses calon – YWP

CALON SPM gembira diberi kemudahan kelas digital SPM Mahir tutor. Gambar hiasan
- Diterbit 29 Ogos 2021 1:00 AM MYT

KELAS digital SPM Mahir Tutor menjadi pilihan pertama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selepas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut Pegawai Kanan Program PESAT, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zahrulail Abdul  Rahman, berdasarkan pemantauan yang dijalankan setelah hampir tiga bulan ia dilaksanakan, didapati seorang pelajar melayari kelas digital berkenaan lebih 10 kali dalam tempoh satu hari.

Malah katanya, waktu kemuncak akses yang direkodkan adalah pada waktu malam.

“Kebanyakan pelajar mengakses kelas digital tersebut sebagai persediaan tambahan yang bagus bagi calon yang akan menghadapi peperiksaan SPM.

“Kita juga mendapati subjek teras yang paling banyak dilayari dalam tempoh berkenaan antaranya Sains dan Matematik,” ujar beliau sambil menambah pemantauan akan dilakukan sehingga peperiksaan SPM berlangsung.

Terbaharu, YWP merekodkan sejumlah 21,756 pelajar yang telah menerima kata laluan bagi mengakses kelas percuma tersebut.

Mengulas lanjut Zahrulail memberitahu kelas digital SPM Mahir Tutor menjadi pilihan utama pelajar disebabkan mudah diakses selain menepati silibus peperiksaan pada masa ini.

“Mereka juga boleh berinteraksi secara pantas dengan tutor melalui live chat untuk meleraikan ketidakfahaman terhadap sesuatu topik sekali gus memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung,” jelas beliau.

Untuk makluman, kelas pembelajaran itu direkodkan dalam (video on demand) bagi membolehkan pelajar mengaksesnya melalui semua jenis peranti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas