Berita

Seni silat perlu jadi ejen penyatuan bangsa

SHAHIDAN (dua kiri) dan Jalaluddin (kanan) ketika merasmikan Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 di Putrajaya di sini Jumaat lalu. SHAHIDAN (dua kiri) dan Jalaluddin (kanan) ketika merasmikan Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 di Putrajaya di sini Jumaat lalu.
- Diterbit 20 November 2021 12:30 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyeru kepada semua penggiat seni silat di seluruh negara untuk menjadi penyatu bangsa Melayu.

Jelasnya, seni silat ini harus dijadikan seperti sukan yang lain dimana seluruh rakyat akan bersatu hati memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi ketika mana-mana pasukan Malaysia sedang bertanding di peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh, permainan bola (sepak), badminton dan ramai pemainnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan rakyat Malaysia menyokong pemain-pemain tersebut.

“Demikian juga silat, kita berharap silat yang merupakan asas seni mempertahankan diri bangsa Melayu menjadi satu di antara badan yang boleh menyatupadukan orang Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 di Putrajaya di sini Jumaat lalu.

Katanya, perpecahan orang Melayu akibat perbezaaan ideologi politik harus ditangani agar ia tidak melebarkan jurang kerana ia merugikan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia itu sendiri.

“Orang Melayu merupakan majoriti di dalam negara ini dan dianggarkan di Semenanjung Malaysia ini mempunyai lebih 60 peratus. Ini jelas bahawa orang Melayu merupakan teras kepada negara ini dan sekiranya kita bersatu padu, maka negara akan menjadi kuat,” katanya.

Shahidan juga menasihatkan kepada semua penggiat seni silat agar tidak menyertai mana-mana parti politik.

“Seni silat ini harus menjadi seperti sukan kerana ia boleh menyatupadukan bangsa kerana rakyat Malaysia bersatu padu dibawah sukan.

“Dalam keadaan orang Melayu yang berpecah sedikit akibat perbezaan fahaman politik, saya menasihatkan agar penggiat seni silat perlu tampil menjadi penyatu untuk bangsa melayu,” katanya.

Terdahulu Shahidan merasmikan Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 yang julung kali diadakan dan ia turut dicatatkan di dalam The Malaysia Book of Record sebagai penganjur pertama Festival Seni Silat secara maya dan turut diadakan Demonstrasi Aliran Pergurusan Silat Terbanyak secara maya yang melibatkan 46 aliran perguruan dari seluruh Malaysia.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Nazari Ahmad.

Dalam ucapannya, Shahidan menyeru kearah penyatuan semua rakyat Malaysia terutama orang Melayu melalui platform seni silat yang telah wujud ratusan tahun yang lalu selain mengingatkan agar pemimpin pertubuhan silat tidak menjadi pemecah belah masyarakat.

“Silat ini boleh muncul menjadi penyatu ke arah bangsa yang kuat di negara ini kerana budaya dan warisan orang Melayu sering dikaitkan dengan silat.

“Sesiapa yang memegang jawatan di dalam pertubuhan silat, mereka mestilah pandai membawa diri agar tidak menjadi pemecah belah bangsa Melayu.

“Mereka mesti menjadi orang yang disayangi bangsa dan tidak terlibat dengan politik yang memecah belahkan bangsa,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas