Berita

Empat resolusi dikemukakan kepada Menteri

- Diterbit 20 November 2021 1:00 AM MYT

PENGANJURAN Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 yang telah melabuhkan tirainya Ahad lalu mampu menjadi pemangkin kepada seni silat untuk terus berkembang khususnya di Wilayah Persekutuan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Pengurusan dan Pembangunan, Datuk Che Roslan Che  Daud berkata, pihaknya menerima empat resolusi hasil daripada penganjuran Simposium Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021.

“Empat resolusi yang dibuat secara bersama oleh Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Kuala Lumpur, PESAKA Putrajaya dan PESAKA Labuan telah dikemukakan kepada saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 dan akan bawa ke Jawatankuasa Tertinggi bagi dinilai dan diperhalusi satu persatu supaya matlamat dan hala tuju bersama dalam memartabatkan silat di Wilayah Persekutuan ke pentas antarabangsa berjaya dipenuhi.

“Selain itu, sebahagian kandungan resolusi ini telah pun berada di dalam perancangan KWP dan ia menunggu kelulusan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Wilayahku selepas perasmian penutup Simposium Seni Silat Wilayah Persekutuan di Putrajaya pada Ahad.

Che Roslan memberitahu, antara resolusi yang diketengahkan adalah untuk mewujudkan sebuah pusat silat dan ia telah berada di dalam perancangan KWP untuk dilaksanakan.

“Antara perkara yang dibangkitkan adalah mengenai mewujudkan arena silat, ia sudah pun dalam tindakan KWP serta kawasan juga telah dikenal pasti di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan dirasmikan oleh Menteri pada Disember ini.

“Untuk di Labuan, saya telah berhubung dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) untuk mendapatkan tempat yang sesuai untuk dijadikan arena silat di Labuan bagi kemudahan penggiat silat di sana,” katanya.

Ujarnya, arena tersebut tidak terhad kepada aktiviti persilatan sahaja, sebaliknya ia akan menjadi pusat pelancongan bagi memperkenalkan warisan tersebut kepada pelancong tempatan dan luar negara.

“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan merancang untuk masukkan arena tersebut dalam kalendar pelancongan agar ia dijadikan kawasan yang wajib dilawati pelancong asing.

“Arena itu nanti akan mengenengahkan industri yang terlibat dengan seni silat sekali gus pelancong berpeluang untuk mendapat ilmu pengetahuan mengenai busana dan peralatan yang berkaitan dengan seni silat.

“Ia juga termasuk alatan muzik yang berkait dengan seni silat dan peralatan tersebut boleh dijual serta pengusaha boleh menjana pendapatan,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas