Berita

7 lokasi hot spot, 138 pit stop food truck

- Diterbit 19 November 2021 12:08 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP)  sentiasa merintis usaha  dan peluang untuk menaik taraf kehidupan golongan berpendapatan rendah B40 dengan menggalakkan mereka  menceburi bidang perniagaan baharu di ibu kota termasuklah berkonsepkan food truck.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata,  pihaknya menyedari bahawa perniagaan telah melalui revolusi baharu dalam usaha mentransformasikan perniagaan konvensional yang berkonsepkan kanopi dan meja di Kuala Lumpur.

“Melalui perkara tersebut, kementerian telah mewujudkan konsep yang lebih moden dan mudah alih iaitu food truck dalam membantu dan menaik taraf kehidupan rakyat khususnya golongan B40.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mewujudkan beberapa lokasi berpusat bagi usahawan food truck di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membolehkan usahawan ini mempunyai lokaliti yang strategik dan sistematik bagi menjalankan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan selepas melawat lokasi food truck di Perkarangan Stadium Bola Sepak Cheras pada Jumaat.

Shahidan berkata, pihaknya turut akan membantu mana-mana usahawan baharu yang berminat menyertai program tersebut termasuk menyediakan bantuan deposit RM10,000 sebagai usaha untuk merancakkan lagi pelaksanaan program ini,

“Bantuan ini disediakan sebagai inisiatif mengurangkan beban penyediaan modal dan kos bagi pembeliaan food truck kepada usahawan muda yang berpotensi.

“Selain itu, latihan pementoran turut disediakan disamping kolaborasi bersama industrial players, pengilang serta pembekal bahan mentah dalam menjadikan mereka sebagai usahawan yang berdaya saing dan menerapkan penggunaan teknologi digital seiring dengan permintaan dan persekitaran semasa,” katanya.

Katanya, sehingga September 2021, DBKL telah menyediakan kira-kira tujuh lokasi hot spot dan 138 lokasi pit stop di seluruh Kuala Lumpur termasuk menambah baik kemudahan di kawasan tersebut.

“Ia telah memberi manfaat kepada 250 food truckers untuk berniaga dan telah mendapat tempat di hati warga kota kerana konsep perniagan ini lebih mudah dan tidak menggunakan ruang yang besar.

“Pengisian program ini juga telah ditambah baik dari semasa ke semasa dengan nilai tambah kepada penaiktarafan kemudahan awam di kawasan hot spot, penyediaan cloud kitchen dan membenarkan usahawan car boot sales menjalankan perniagaan,” katanya.

Kata Shahidan lagi, bagi Program Car Boot Sales, sebanyak 30 petak telah disediakan di Bandar Tasik Seri Permaisuri sebagai lokasi rintis bagi melihat perkembangan dan peningkatan usahawan ini yang akan beroperasi secara penggiliran hari pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Cuma ada permohonan daripada peniaga untuk menjalankan perniagaan dari tiga kali seminggu untuk beroperasi setiap hari dan kita akan pertimbang dan membincangkan perkara ini,” katanya.

Ujarnya, pihaknya menjangkakan konsep perniagaan ini akan semakin terus berkembang kerana ianya telah menjadi satu trend perniagaan ringkas (easy and smart bussiness) tanpa memerlukan modal perniagaan yang besar.

“Ia akan diperluas dan ditambah baik dari semasa ke semasa keseluruh parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pastinya ia akan mengubah perspektif warga kota terhadap imej konsep perniagaan yang konvensional kepada perniagaan moden seiring dengan matlamat My City My Home,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas