WK2

Kerajaan, swasta wajar pulihara seni bangsawan

PERALATAN disusun dan dijaga dengan rapi.
- Diterbit 6 Disember 2019 8:21 AM MYT

SENI Bangsawan yang pernah menghiasi dunia seni tanah air pada awal abad ke-20 perlu terus dipulihara kerana ia merupakan warisan negara.

JOHAN JAAFAR

Tokoh Kewartawanan Negara, Tan Sri Johan Jaafar berkata, seni persembahan bangsawan sudah semakin malap kerana kekurangan usaha dari pelbagai pihak untuk memartabatkan seni itu.

“Saya telah menyatakan perkara ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan juga mana-mana pihak supaya mereka dapat membantu menghidupkan kembali pementasan bangsawan ini.

“DBP tiada masalah untuk menyediakan tempat, cuma mereka menghadapi kekangan kewangan untuk membiayai pementasan ini,” katanya.

Beliau yang juga tokoh budayawan memberitahu, kos yang diperlukan untuk menganjurkan satu pementasan yang asli adalah kira-kira RM150,000.

“Kos tersebut adalah untuk pementasan yang tulen kerana setiap babak akan dilaksanakan dengan tertib sesuai dengan imej bangsawan itu sendiri.

“Selain itu, kos tersebut digunakan sepenuhnya untuk operasi pementasan dan tidak meletakkan keuntungan kepada diri sendiri selain bertujuan mendidik masyarakat mengenai seni berkenaan,” katanya.

Jelas Johan, kos tersebut juga adalah munasabah kepada Rahman B selaku anak seni yang diiktiraf sebagai Seniman Negara yang masih hidup.

Justeru, beliau menyeru kepada pelbagai pihak sama ada wakil kementerian, badan korporat mahu pun syarikat swasta untuk merealisasikan impian seniman negara itu.

“Saya mohon kepada mana-mana pihak untuk bantu memberikan buah fikiran serta menjadi pemudah cara agar pementasan ini berjaya dilaksanakan.

“Malah, disamping itu kita anjurkan juga pameran untuk memberikan pendedahan kepada generasi muda berkaitan seni bangsawan,” katanya.

Menurut Johan, beliau juga mencadangkan kepada kerajaan untuk menyediakan satu rumah yang sesuai untuk dijadikan Galeri Bangsawan.

“Galeri ini akan digunakan untuk menyimpan koleksi peribadi yang dimiliki Rahman B seperti alat muzik, pakaian, keris dan juga manuskrip-manuskrip ini agar dapat dipulihara.

“Selain itu, sebagai seniman negara yang banyak berjasa, wajar untuk semua pihak memainkan peranan dan membantu supaya impian Rahman B tercapai,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas