Berita

Semua pusat latihan seliaan MSN ditutup

ANTARA Pusat Latihan MSN di Bukit Jalil. - Foto: NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 18 Mac 2020 6:52 AM MYT

KUALA LUMPUR – Selaras dengan perintah kawalan pergerakan oleh Kerajaan Malaysia yang berkuatk hari ini hingga 31 Mac nanti, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Instititut Sukan Negara (ISN) melalui satu Jawatan Kuasa Tindakan sepakat membantu mengekang wabak Covid-19.

AHMAD SHAPAWI
AHMAD SHAPAWI

Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, tindakan tersebut termasuklah penutupan semua pusat latihan di Bukit Jalil dan seluruh negara.

“Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Akademi Badminton Negara (ABM) di Bukit Kiara, Kolej Keenam Universiti Putra Malaysia (UPM), Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan, Kompleks MSN Taman Keramat dan Pusat Latihan Perahu Layar MSN di Langkawi juga ditutup sepenuhnya,” katanya.

Semua atlet juga diminta atau diuruskan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing kecuali beberapa orang yang sedang dikuarantin.

“Setakat ini, 37 orang atlet akan dikuarantin sehingga 28 Mac ini selepas disyaki bersama dan berada berdekatan atlet Jackie Wong yang pertama disahkan positif dijangkiti wabak berkenaan. Kesemua mereka akan menjalani ujian saringan dan jika didapati positif, mereka akan dirawat dan terus dikuarantin,” katanya.

Kesemua pegawai yang terlibat dalam menguruskan atlet yang dikuarantin akan terus bertugas namun harus mematuhi prosedur ketat yang telah ditetapkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas