Berita

Covid-19: Hentikan kenyataan cetus kerisauan rakyat – PDRM

Siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998
PDRM
2019.
- Diterbit 18 Mac 2020 6:55 AM MYT

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang kenyataan atau artikel yang tidak sewajarnya berkaitan wabak Covid-19 di laman sosial serta sebagainya.

Tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed , tindakan tidak bertanggungjawab itu dikhuatiri akan menimbulkan kerisauan dan mencetuskan kegentaran dalam kalangan masyarakat.

Ujai beliau, tindakan memuat naik kenyataan atau artikel berkaitan perkara tersebut boleh mengakibatkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

“PDRM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati dengan sengaja mensensasikan isu berkenaan.

“Sepanjang tempoh kajian mulai 25 Januari lalu hingga semalam, terdapat 40 Kertas Siasatan telah dibuka di seluruh negara. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 AKMM 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Huzir, daripada kesemua Kertas Siasatan, 11 kes telah dituduh di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang mana tiga kes diputuskan sebagai ‘tiada tindakan selanjutnya (NFA) oleh Timbalan Pendakwaraya.

Tambah beliau, 26 kes lagi masih dalam siasatan pihak polis. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas