Berita

‘Duduk di rumah, jangan keluar’ – KKM

Ia bakal menjadi lebih besar seperti tsunami, jika kita mempunyai sikap 'tidak kisah'
NOOR HISHAM (tengah) ketika sidang media berkaitan wabak Covid-19.
- Diterbit 18 Mac 2020 6:17 AM MYT

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah merayu kepada orang ramai untuk mematuhi arahan kerajaan yang menguatkuasakan larangan pergerakan terhad mulai hari ini.

Noor Hisham menerusi Facebook rasminya merayu kepada semua rakyat Malaysia untuk mematuhi perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan kerajaan secara serius.

“Hari ini merupakan hari pertama perintah kawalan pergerakan di negara kita.

“Dengan kata mudah, ‘sila duduk di rumah’ dan jarakkan diri anda daripada orang lain,” katanya.

Menurut Noor Hisham, beliau turut menyeru kepada orang ramai untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dengan memainkan peranan penting sebagai individu.

“Setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.  Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kegagalan bukan pilihan ketika ini dan jika tidak, negara mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini.

“Selanjutnya ia bakal menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap ‘tidak kisah’,” katanya.

Sebagai seorang yang mengetuai barisan hadapan dalam menangani virus Covid-19, Noor Hisham memerlukan sokongan semua pihak untuk mengekang penularan virus tersebut yang telah mengorbankan dua nyawa setakat ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas