Selebriti

“Sempat ke minta maaf sebelum mati?” – SHIHA ZIKIR

|
- Diterbit 6 Jun 2020 3:22 AM MYT

Artis serba boleh Shiha Zikir kecewa dengan segelintir netizen yang hanya tahu membesar-besarkan sesuatu isu yang melibatkan artis.

Niatnya tidak lain, hanya mahu menjatuhkan artis tersebut dalam masa yang sama obses mengejar pengikut dalam media sosial.

“Semua orang buat silap, tiada siapa pun yang sempurna. Jadi jangan nak jatuhkan atau buruk-burukkan orang lain. 

“Apa yang membuatkan saya kesal apabila ada segelintir netizen kita iaitu haters ini suka ‘menghukum’ terus seseorang artis itu. 

“Saya ada memberitahu peminat-peminat, kalau kita ada nampak kekurangan pasal orang lain, tidak boleh sewenang-wenangnya mereka  berkongsi video dalam media sosial semata-mata mahu meraih followers (pengikut) dan mahu dapatkan perhatian.

SHIHA sedih dengan segelintir netizen yang sengaja mahu menjatuhkan seseorang artis

“Apa yang menyedihkan, apabila mereka mengajak orang lain mengata secara ‘berjemaah’, itu perkara yang sangat negatif.

“Sebenarnya perbuatan ini melambangkan imej mereka sendiri. Jadi kita perlu elakkan daripada terlibat. 

“Nampak saja perkara negatif, tak payah layan. Kalau kita berpakat abaikan yang negatif, isu itu akan hilang begitu sahaja,” luah Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir,32. 

Shiha juga kecewa teknologi canggih zaman ini digunakan untuk melakukan dosa sedangkan banyak perkara baik yang boleh disebarkan.

“Bayangkan kalau kita tulis atau muat naik sesuatu yang negatif, kemudian ada orang kongsi dan akhirnya jadi berantai-rantai. Secara tak langsung kita yang tanggung dosa itu. 

“Tidak rasa berdosa ke kalau apa yang kita komen dalam laman sosial boleh buat artis atau orang yang kita tuju tu terasa hati? Sempat ke minta maaf sebelum mati?

“Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang kita tulis tu boleh mengguris perasaan orang lain. Jadi, berwaspadalah dalam dunia sekarang yang semuanya di hujung jari,” jelas Shiha yang baru sahaja muncul dengan Lagu raya berjudul Moh Beraya ciptaan Harry Khalifah dan lirik oleh Ajimaze

Apa yang istimewa, pelantun lagu Pipiyama ini diberi penghargaan berkolaborasi dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah. 

Selain itu, Shiha yang menjalankan bisnes kanta lekap Shihalens ini akan muncul dengan lagu baru ciptaan Ezra Kong. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas