WK TV

Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar, Himpun idea rangka pelan induk

MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad melawat ruang pameran pada Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar baru-baru ini.
- Diterbit 12 Disember 2019 7:50 AM MYT

KEMISKINAN bandar merupakan isu penting dalam negara yang perlu diberi perhatian serius bukan sahaja oleh pihak kerajaan bahkan semua pihak.

Menyedari peri pentingnya isu ini, maka satu seminar Membasmi Kemiskinan Bandar telah dianjurkan oleh Majlis Belia Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ia diadakan bagi mengumpulkan segala data, cerita, pengalaman, cadangan penyelesaian dan program baharu supaya golongan sasar dapat keluar daripada kepompong hidup mereka pada masa ini.

Seminar yang berlangsung selama sehari itu menampilkan 16 panel penceramah. Kesemua mereka membentang kertas kerja dan perspektif terhadap isu yang berlarutan sejak sekian lama ini.

Semua bahan yang dibentang akan menjadi rujukan untuk Pasukan Petugas Khas yang diberi tanggungjawab menggubal Pelan Tindakan berkenaan.

Untuk itu, disenaraikan lapan cadangan bernas bagi menangani masalah yang membebani sebahagian penduduk bandar amnya dan di Kuala Lumpur khususnya.

PERBELANJAAN MELEBIHI GAJI

Mohd. Mahyuddin Yahya

Timbalan Setiausaha Bahagian Bahagian Sosio Ekonomi, Kementerian Wilayah Persekutuan

  • Realiti semasa membuktikan bahawa gaji minimum RM1,200 bagi golongan bujang di Malaysia tidak cukup yang mana wang gaji hanya berbaki RM50 untuk kelangsungan hidup selama sebulan.
  • Bagi pasangan yang sudah berkeluarga yang mana kedua-dua pasangan bekerja dengan gaji minimum RM2,400 sebulan pula terpaksa menanggung defisit (kurang belanjawan) sebanyak RM 1,160.
  • Perbelanjaan semasa dibahagikan kepada beberapa kategori utama antaranya makan dan minum, sewa bilik/rumah, utiliti, ansuran kereta/motosikal, keperluan anak dan sebagainya.
  • Antara kesan ketidakcukupan perbelanjaan adalah masalah sosial yang menyebabkan anak-anak terabai, keberhutangan dan kualiti hidup terjejas.

MODEL KEUSAHAWANAN SOSIAL HOLISTIK

Profesor Dr. Doris Padmini S.Selvaratnam

Ketua Pejabat Perhubungan Mayarakat-Industri Universiti Kebangsaan Malaysia

  • Mencadangkan modul keusahawanan yang dijalankan terhadap penduduk antaranya di Pangsapuri Enggang, Majlis Perbandaran Subang Jaya dibahagikan kepada beberapa modul antaranya modul literasi kewangan yang memfokuskan ketua isi rumah dan individu.
  • Antara cabaran yang dihadapi peserta adalah modal tidak mencukupi untuk memulakan perniagaan atau meluaskan aktiviti ekonomi.
  • Pun begitu, setelah menyertai model yang diberi, beberapa perubahan jelas kelihatan iaitu peserta dilihat bersemangat untuk berusaha mendapatkan modal tambahan.
  • Mereka juga semakin percaya diri dan terlibat dalam aktiviti sosial secara lebih kerap selain berinteraksi dengan ahli komuniti yang lain.

PERANCANGAN SOSIO – EKONOMI

Tan Sri Datuk Seri Dr. Sulaiman Mahbob

Mantan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Profesor Adjung UM, USM dan UNIRAZAK

  • Dua isu utama yang penting iaitu kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif.
  • Pendapatan Garis Kemiskinan (poverty line Income) yang dikira berasaskan kepada keperluan asas harian (makanan, pakaian, sewa rumah dan sebagainya).
  • Perlu ada dua garis kemiskinan iaitu untuk bandar dan luar bandar.
  • Proses perbandaran atau ‘urbanization’ yang pesat membawa penduduk berhijrah ke bandar selain kawasan pinggiran (sub-urban) yang kini menjadi bandar. Ia adalah cabaran kepada kerajaan tempatan.
  • Perlu mengkhususkan Peranan Kerajaan Tempatan dan Tadbir Urus yang sesuai dengan proses urbanisasi pada masa hadapan.

PENDIDIKAN DAN KESIHATAN MENTAL

Simpson Khoo

Konsultan Badan Bukan Kerajaan

  • Melengkapkan kanak-kanak dengan nilai-nilai positif dan kemahiran hidup untuk berjaya dalam hidup.
  • Membantu kanak-kanak untuk terus berada di sekolah bagi mencapai tahap pendidikan tinggi dan menjamin masa hadapan.
  • Untuk melahirkan kanakkanak yang berkualiti, keperluan asas kelengkapan asas seperti kasut, makanan sihat dan kasih sayang daripada keluarga amat penting bagi menyokong akses pendidikan.
  • Sebagai kesimpulan, pendapatan yang lebih tinggi menjamin tekanan psikologi yang lebih rendah serta kualiti tidur yang lebih baik.
  • Status sosioekonomi (SES) yang rendah menimbulkan ketidakseimbangan dalam pengedaran sumber, tahap kesihatan dan kualiti hidup.

SUDUT MODAL INSAN – BELIA BERISIKO TINGGI

S. Pasupathi

Pengarah My Skills Foundation

  • Mengikut kajian, kos hidup meningkat 23 peratus dari 2009 hingga 2012.
  • Mengikut statistik pada tahun 2018 yang di keluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia, 14,500 orang pelajar tercicir.
  • Keciciran dalam bidang pendidikan kerana beberapa faktor antaranya masalah kemiskinan keluarga, kurang kelengkapan rumah, kesukaran untuk ke sekolah dan sebagainya.
  • Kemudahan perumahan yang lebih baik (600 kaki persegi) (1,200 kaki persegi) dengan empat buah bilik tidur, tiga buah bilik mandi merupakan antara perkara yang perlu di ambil kira.
  • Pelajar yang berumur kurang daripada 16 tahun yang tidak berminat dalam bidang akademik perlu dibantu untuk memasuki kolej latihan kemahiran holistik berpusat seperti My Skills Foundation.

PROGRAM BANTUAN

Eruan Abi

Timbalan Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Bandar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

  • Penganjuran Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) dapat meningkatkan kemahiran kumpulan sasar supaya mampu mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan.
  • Skop latihan program PEKB terbahagi kepada empat antaranya Program Pembangunan Minda Insan, Program Celik Kewangan, Program Bina Upaya dan Program Menjana Pendapatan Melalui Keusahawanan.
  • Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Program Rumah Sejahtera menyediakan perumahan mampu milik yang mencukupi dan berkualiti kepada isi rumah miskin, berpendapatan rendah dan sederhana.
  • Sehingga November 2019, sebanyak RM88,181,607.34 peruntukan dikeluarkan untuk Program Baik Pulih Rumah Daif Bandar dan RM4,960,000 peruntukan untuk projek Rumah Sejahtera.

Bebaskan wanita dari belenggu kemiskinan

PIHAK kerajaan giat menjalankan pelbagai program untuk membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Ternyata ia membuahkan hasil apabila ramai yang berjaya menjana pendapatan sendiri dan seterusnya mampu berdiri tanpa mengharap bantuan semata-mata.

Antaranya Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (WITUS), Sheila Tukiman yang kini tampil membantu golongan wanita serta ibu tunggal untuk menjana pendapatan sendiri.

SHEILA

“Dengan ilmu pengetahuan yang diperoleh hasil bantuan program, kini saya tubuhkan persatuan WITUS untuk membantu golongan wanita mencari sumber pendapatan.

“Hanya dengan yuran serendah RM10, mereka akan diberi bimbingan program seperti memasak, membuat kuih serta kelas jahitan. Hasil keuntungan produk diberi sepenuhnya kepada individu tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melalui inisiatifnya mewujudkan Pusat Cakna Bangun Ekonomi (PACBE).

Menurut Jurulatih PACBE, Tanty Marlena Abdullah, PACBE berjaya membangunkan kemahiran kapasiti wanita dalam pelbagai bidang.

“Saya sendiri berterima kasih kerana kini mempunyai perniagaan butik sendiri dan berupaya menyalurkan ilmu pengetahuan kepada kaum wanita di luar sana,” ujarnya yang juga merupakan salah seorang peserta yang berjaya dilahirkan melalui program PACBE.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas