Selebriti

Toko Kilat cipta lagu malar segar

DARI kiri Saiful, Azhari, Irfan, Redzuan dan Edwin.
- Diterbit 13 Disember 2019 8:13 AM MYT

Oleh Ibnatie Aziza Mat Roff

JIKA mendengar nama band ini, pasti ramai yang menyangka mereka berasal dari negara seberang. Namun siapa sangka, Toko Kilat sebenarnya merupakan sebuah band dari Malaysia.

Mula ditubuhkan pada tahun 2016, Toko Kilat yang dianggotai Edwin Raj, Azhari Toya, Saiful Taufek, Redzuan Wan Hussin dan Irfan Iskandar ini terdiri daripada anak muda yang meminati aktiviti ‘jamming’.

Tampil bersaing secara sihat dalam industri hiburan, menurut vokalisnya, Edwin, sebolehnya mereka mahu menghasilkan muzik yang sentiasa malar segar sepanjang zaman.

“Kalau boleh lagu yang dihasilkan biarlah sentiasa relevan biarpun trend berubah. Jika diikutkan, itulah yang diimpikan oleh kebanyakan ahli muzik yang mana lagu mereka mampu didengari merentasi zaman,” ujarnya.

Muncul dengan lagu Ratu Malam yang membawa genre indie rock disamping gabungan elemen jazz dan tiupan saksofon, ternyata percubaan tersebut berjaya membuatkan Toko Kilat dikenali.

“Kami amat meminati muzik rock dan cuba mencari sesuatu yang serasi dengan aliran itu. Syukur, ia tidak menghampakan,” ujar Edwin.

Menjadikan kumpulan popular seperti Search dan Wings sebagai rujukan, Irfan selaku pemain dram berkata nama besar tersebut tidak pernah menetapkan hanya membawa satu genre muzik sahaja.

“Mereka ada lagu balada, lagu rock, lagu cinta dan sebagainya dan ternyata mereka berjaya menunjukkan kehebatan dengan kepelbagaian genre,” ujarnya lagi.

Mengakui bukan satu perkara yang mudah dalam membawa aliran muzik yang boleh dikatakan berbeza daripada aliran arus perdana, Irfan bangga kerana Toko Kilat semakin dikenali.

“Mungkin kerana keunikan dengan membawa saksafon dalam lagu membuatkan kami dilihat lain berbanding band lain yang sedia ada dan paling menggembirakan, kami sudah pun mempunyai pengikut tersendiri,” ujarnya.

Menerusi rangka jelajah Pemacu Api Tour 2019 yang berlangsung di tiga lokasi iaitu The Gaskey Alley, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Bahru pada Ogos dan September lalu, ternyata ia mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan bahawa kehadiran Toko Kilat dinanti-nanti oleh para peminat. Pemuzik dan vokalis terkenal Malaysia, Noh Hujan juga turut sama turun padang,” ujarnya.

Malah keluaran album pertama Toko Kilat laris dan mencatat kejayaan tersendiri apabila ia habis dijual dalam masa yang agak singkat.

“Apa yang kami persembahkan pada setiap persembahan sama dengan yang disajikan dalam album agar tidak menghampakan peminat.

“Selain itu, setiap kali mengadakan persembahan, kami akan menyajikan sistem bunyi dan pencahayaan yang berkualiti untuk memuaskan hati semua pihak,” ujarnya

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas