Berita

Semarak Merdeka Fun Night Run, meriah

FUN RUN UM
PESERTA teruja berlari selepas wisel ditiupkan penganjur.
- Diterbit 16 September 2019 4:41 AM MYT

KUALA LUMPUR – Seramai 1,500 peserta telah menyertai acara larian Semarak Merdeka Fun Night Run sempena sambutan hari kemerdekaan negara di Dataran Tuanku Canselori, Universiti Malaya dekat sini malam tadi.

Penganjurnya, Ketua Pegawai Eksekutif Trans Borneo Tour, Jamaludin Ahmad berkata, acara itu diadakan bagi memperingati hari kemerdekaan negara sekaligus memperingati jasa-jasa pejuang sebelum ini.

“Acara ini juga menggambarkan bahawa keharmonian dan kesepakatan rakyat Malaysia masih terserlah dalam menyambut hari kebangsaan kita.

“Ini merupakan acara fun run kali ke empat yang kami anjurkan, ternyata kali ini juga turut meriah dengan sambutan daripada pelbagai peserta dalam pelbagai peringkat umur, ” ujarnya kepada Wilayahku malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta Semarak Merdeka Fun Night Run di Dataran Tuanku Canselori Universiti Malaya dekat sini.

Acara yang bermula pada pukul 8 malam itu turut diserikan dengan pelbagai acara kepada pengunjung antaranya cabutan bertuah serta konsert Semarak Merdeka dari penyanyi terkenal antaranya Kugiran Masdo dan Kina Mentor.

Tambah Jamaludin, acara seperti akan terus dianjurkan pada setiap tahun kerana sambutan yang diperolehi amat menggalakkan dan dapat mengajar masyarakat tentang erti kemerdekaan melalui acara seumpama ini.

“Walaupun kali ini diadakan di dalam kawasan universiti, namun sambutan tetap meriah, mungkin tahun hadapan pihak kami akan anjurkan di sini lagi, ” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas