Berita

Hari Malaysia wadah suburkan perpaduan rakyat berbilang kaum

KHALID-PERPADUAN
KHALID (tengah) ketika hadir merasmikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2019 di Dataran Labuan. - FOTO: JEFFREY NIAN/JABATAN PENERANGAN
- Diterbit 16 September 2019 1:41 PM MYT

LABUAN – Rakyat diseru agar menjadikan sambutan Hari Malaysia sebagai wadah menyuburkan kembali pendekatan menyantuni perbezaan dan merayakan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta kepercayaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, amalan perpaduan dan zero konflik kaum merupakan aset yang boleh menjadi salah satu daya tarikan pelancong berkunjung ke pulau ini.

“Udara yang nyaman dan wilayah yang indah bersih serta aman damai merupakan satu pakej yang sangat istimewa untuk mempertingkatkan daya tarik pelancongan di wilayah ini,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat WP Labuan Tahun 2019 di Dataran Labuan hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Datuk Seri Amir Hussein; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Labuan, Mimie Duasah Selvakumar.

Khalid berkata, perpaduan bukan sahaja satu perkara yang rakyat nikmati malah merupakan satu perkara yang perlu dihayati dan dipertahankan.

Menyingkap kembali proses penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, Khalid berkata, salah satu dokumen yang memainkan peranan penting ke arah pembentukan Malaysia adalah Laporan Penyiasatan Suruhanjaya Cobbold yang dibentuk untuk meninjau pandangan penduduk negeri Borneo Utara dan Sarawak mengenai gagasan penubuhan Malaysia.

Laporan itu menjadi rujukan asas dan bukti persetujuan majoriti rakyat Borneo Utara dan Sarawak untuk sama-sama membentuk Malaysia pada ketika itu, katanya.

“Maka jelaslah, perpaduan rakyat juga menjadi kunci utama dalam
proses pembentukan negara Malaysia yang kita cintai ini.

“Dengan itu, saya menyeru kepada semua warga Wilayah Persekutuan untuk tidak mengkhianati amanah iaitu sebuah perpaduan yang telah diwariskan oleh pejuang-pejuang terdahulu kepada kita semua,” tegasnya.

Khalid menyatakan, bangsa Malaysia yang sejati akan meraikan perbezaan dan mencari titik persamaan; menutup perbalahan dan menyuburkan kebersamaan; mempertahankan perpaduan demi kemajuan serta kestabilan berpanjangan.

“Jadi berpolitik dan berjuanglah, tetapi jangan sekali-kali memperjudikan apa yang menjadi kekuatan kita selama ini iaitu perpaduan.

“Perpecahan tidak menguntungkan mana-mana pihak, perseteruan tidak memenangkan mana-mana kaum di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid menyatakan, kerajaan Malaysia Baharu ini telah berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi seberapa banyak tanggungjawabnya.

“Memang ada kekurangan dan kesilapan dan untuk itu kerajaan ini akan terus berusaha untuk memperbaikinya,” katanya.

Terdahulu, sambutan Hari Malaysia 2019 dimeriahkan dengan Perarakan Fiesta Bunga Raya melibatkan 58 kontinjen dengan peserta seramai 1,473 kanak-kanak dari seluruh taska perpaduan, tabika perpaduan, tadika-tadika swasta, pra sekolah, tadika MAIWP dan tadika Kemas.

Sambutan Hari Malaysia merupakan kemuncak Bulan Kebangsaan bermula Ogos lalu yang menyaksikan pelbagai pengisian dilakukan antaranya Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Merdeka@Komuniti, Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan.

Selain itu turut diadakan adalah Pertandingan Pidato Kenegaraan, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan, Pertandingan Sketsa Rukun Negara, Program Aspirasi Merdeka serta banyak lagi program berunsurkan kenegaraan serta patriotisme anjuran jabatan-jabatan kerajaan, pihak swasta, komuniti setempat dan petubuhan bukan kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas