Berita

Semarak Kemerdekaan sambil nikmati kelazatan buah tempatan

BARISAN AJK MPPWP Sub Zon 5 Bandar Tun Razak melancarkan kempen kibar bendera sempena Kemerdekaan ke-64 tahun ini. BARISAN AJK MPPWP Sub Zon 5 Bandar Tun Razak melancarkan kempen kibar bendera sempena Kemerdekaan ke-64 tahun ini.
- Diterbit 12 September 2021 5:30 AM MYT
FAROUK, Boy (tengah) dan Mohd Kamal (kanan) ketika ditemui di tapak jualan program ‘Jom Makan Buah Tempatan’ di Lake Field, Sungai Besi.

INISIATIF kempen ‘Jom Makan Buah Tempatan’ usahasama oleh Pertubuhan Amal Kebajikan Erat Masyarakat dengan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Subzon 5 Bandar Tun Razak, ternyata berbeza bagi menyemarakkan kemerdekaan ke-64 tahun ini.

Bagi Pengerusi MPPWP Sub Zon 5, Farouk Mohd Noor, selain memupuk kesedaran warga tentang semangat kemerdekaan, program tersebut turut menjadi landasan untuk membantu pengusaha buah-buahan menjual hasil masing-masing di tapak jualan secara percuma selama lima hari.

Katanya, pendekatan itu secara tidak langsung dapat membantu mereka menjana pendapatan hasil jualan dan mengelak kerugian akibat wujud lambakan buah-buahan yang dimiliki pengusaha.

“Seramai 10 pengusaha buah-buahan tempatan terlibat dalam program ini bermula 27 hingga 31 Ogos yang mana kita juga turut mengagihkan bendera Malaysia sebagai cara menyemarakkan semangat kemerdekaan.

“Paling menarik, selain membantu pengusaha, ia juga buka peluang kepada masyarakat kita untuk merasai kelazatan buah-buahan tempatan pada harga sangat berpatutan,” katanya ketika ditemui di Dataran Lake Field Sungai Besi.

Gerai jualan yang mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu beroperasi bermula 10 pagi hingga 6 petang dengan tahap pematuhan SOP yang ketat oleh semua terlibat.

Menurut Wakil Pertubuhan Amal Kebajikan Erat Masyarakat, Mohd Kamal Othman, peluang yang terhidang itu memberi manfaat bagi pengusaha untuk menjual hasil masing-masing di kawasan strategik yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Pelbagai jenis buah dijual rambutan, langsat, dokong, manggis, mata kucing, pelbagai jenis durian, cempedak, mangga, malah petai pun ada ditawarkan pada harga RM10 untuk tiga kilogram.

“Jadi, acara mini ekspo ini memberi peluang bagi orang ramai membeli dan nikmati buah tempatan dalam semangat kemerdekaan,” ujarnya sambil berharap program sama diadakan lebih kerap lagi bagi membantu peniaga, pemborong dan juga pembeli.

Sementara itu, seorang pemborong yang dikenali dengan gelaran Boy Musang King, menjelaskan, pelbagai jenis durian didatangkan dari Raub yang boleh dinikmati pengunjung pada harga sangat berbaloi.

Katanya, sejumlah enam hingga tujuh tan durian disasar terjual dalam acara selama lima hari itu dengan kos kasar sekitar RM80,000, secara langsung dapat menjual secara terus kepada pembeli. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas