Berita

MPKK Batu 10 bantu tujuh keluarga jalani kuarantin

AHLI Parlimen Hulu Langat Yang Berhormat Ustaz Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkesempatan turun padang menyantuni penduduk yang terkesan. AHLI Parlimen Hulu Langat Yang Berhormat Ustaz Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkesempatan turun padang menyantuni penduduk yang terkesan.
- Diterbit 12 September 2021 6:30 AM MYT

MAJLIS Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 10 Cheras menghulurkan bantuan kepada tujuh buah keluarga yang menjalani tempoh kuarantin kendiri COVID-19.

KETUA Kampung Batu 10 Cheras, Napiah Haron menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas dan penjagaan diri kepada salah seorang penduduk.

Ketua Kampung Batu 10 Cheras, Napiah Haron berkata pihaknya memahami situasi dan kesukaran dialami keluarga terbabit dan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dan penjagaan diri telah diberikan.

“Kami memahami situasi dan kesukaran yang dialami oleh keluarga terbabit dalam menjalani rutin harian terutamanya bagi mereka mempunyai bayi dan anak kecil.

“Setiap keluarga terbabit menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas dan penjagaan diri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya lagi pihak mereka aktif menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan dan kurang berkemampuan sejak Perintah kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bermula.

Napiah berkata selain MPKK Batu 10, Pusat Khidmat Dun Dusun Tua, Lembaga Zakat Selangor Kerajaan Negeri dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat turut terlibat dalam program agihan sumbangan ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa penduduk setempat untuk terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan mendaftar untuk pengambilan vaksin.

“Saya turut ingin mengingatkan penduduk setempat agar berterusan mengamalkan norma baharu dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan. Kebarangkalian jangkitan tetap akan berlaku walaupun kita sudah divaksin.

“Saya juga merayu kepada mana-mana penduduk agar mengambil tindakan segera untuk mendaftarkan diri menerusi Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” jelasnya lagi. -WILAYAHKU- DIANA AMIR 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas