Berita

Semakan kemasukan pelajar ke MRSM bermula 10 Mac ini – MARA

melalui laman web yang disediakan.
- Diterbit 9 Mac 2021 3:43 PM MYT

TAWARAN kemasukan pelajar Tingkatan 1 dan 4 ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara bagi tahun 2021, boleh disemak secara berperingkat mulai 10 Mac ini.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam kenyataan memaklumkan, sesi kemasukan pelajar tahun ini mengambil kira dua kriteria iaitu calon lulus Ujian Kecenderungan Kecemerlangan Kemasukan ke MRSM (UKKM) atau lulus Ujian Khas Ulul Albab dan merit Status Sosio Ekonomi (SES) keluarga.

SEMAKAN kemasukan bagi pelajar yang terpilih ke MRSM boleh mula dibuat mulai 10 Mac ini, melalui laman web yang disediakan.

Menurut kenyataan itu, calon berjaya ditawar ke MRSM akan menerima notifikasi menerusi satu Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftar oleh pelajar semasa permohonan.

“Pemohon juga boleh membuat semakan melalui portal rasmi MARA di www.mara.gov.my dengan setiap pemohon atau ibu bapa perlu melakukan pengesahan penerimaan tawaran masuk melalui pautan sistem mymrsm dalam portal berkenaan.

“Sekiranya calon itu tidak membuat pengesahan penerimaan tawaran dikemukakan dalam tempoh 7 hari, tawaran tersebut dianggap batal,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sementara itu, proses permohonan rayuan bagi kemasukan akan dibuka mulai 7 April hingga 30 Mei 2021 secara atas talian. Pemohon tidak perlu
menghantar permohonan secara fizikal kerana proses rayuan dilakukan secara atas talian.

Kenyataan yang sama menyebut, untuk tahun ini, MARA menerima 102,329 permohonan bagi sesi kemasukan pelajar Tingkatan 1 dan 4 berbanding kapasitinya 7,783 (Tingkatan 1) manakala 2,426 bagi Tingkatan 4.

“Setakat Februari 2021, pelajar MRSM sedia ada seramai 28,087 orang mengikuti pembelajaran di 53 buah MRSM di seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun,l berkata, MARA masih meneruskan dasar prngambilan sedia ada dengan 60 peratus
adalah daripada golongan berpendapatan rendah atau B40.

Katanya, keutamaan juga diberikan untuk pelajar luar bandar dan miskin bandar bagi memastikan pelajar B40 dapat meneruskan pengajian mereka di MRSM.

“MARA juga akan teruskan program BUDI MARA, pelajar dalam kalangan keluarga B40 yang ikuti pengajian di MRSM tidak perlu bimbang kerana MARA menyediakan bantuan di bawah program BUDI MARA ini.

“Melalui program bantuan ini pelajar terpilih akan diberi bantuan wang tunai RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian uniform sekolah, pakaian harian, keperluan asrama selain alatan persekolahan dan sebagainya

“Melalui pendekatan ini, ia memberi peluang yang lebih besar kepada pelajar dalam kalangan B40 mengikuti pengajian di MRSM,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, pada ahun ini, dua buah MRSM baharu akan mula beroperasi iaitu MRSM ATM Bera, Pahang serta MRSM Bagan Datuk, Perak dijangka beroperasi awal Jun 2021 bagi memberi peluang pendidikan lebih besar kepada masyarakat.

Setakat ini, MRSM menawarkan 6 modul program iaitu MRSM International General Certificate of Secondary Education (IGCSE),MRSM Inteational
Baccalaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), MRSM Ulul Albab, Program Khas Pendidikan (PKP), MRSM Premier dan MRSM Teknikal di bawah Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM). – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas