Berita

Semai budaya ilmu warga kota

KELAS tuisyen diadakan di MINTS untuk pelajar sekolah.
KELAS Tusyen turut diadakan di MINTS untuk pelajar sekolah.
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:11 AM MYT

SEJAK ditubuhkan enam tahun lalu, program Mini Terminal Sejahtera (MINTS) dilihat memberi nafas baharu kepada penduduk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur.

Masa terluang yang ada kini terisi dengan proram-program MINTS yang berfaedah antaranya kelas bimbingan dan bacaan al-Quran, kelas tuisyen dan kelas bimbingan membaca, program kemahiran serta komuniti.

Kanak-kanak PPR/PA yang dahulunya sering tercicir dalam pelajaran kini tidak lagi terabai malah dapat belajar dalam ruang MINTS yang kondusif serta berhawa dingin sambil dipantau tenaga pengajar berpengalaman.

Menurut Pengurus Kanan PESAT Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zahrulail Abd Rahman, objektif utama MINTS bertujuan untuk memberi ruang pembelajaran yang selesa bagi mengelakkan kanak-kanak penghuni PPR/PA keciciran dalam pendidikan akibat ketiadaan ruang selesa di rumah.

“Kelas yang mampu mengisi seramai 60 orang dalam satu-satu masa itu bukan sahaja selesa bahkan ia selaras dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020 akan datang.

“Susulan Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (UNESCO), MINTS dipilih sebagai salah satu komponen
kerana fungsi yang dijalankan kepada kumpulan sasaran PPR/PA,” ujarnya.

Justeru, ia turut dibangunkan dengan kemudahan lengkap berserta dengan perpustakaan mini yang menepati kehendak atau syarat UNESCO untuk program Kota Buku Kuala Lumpur.

Selain program pembangunan, idea penubuhan MINTS yang dicetus YWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) kini turut diperluaskan dengan melibatkan warga setempat.

Antaranya menyediakan kerusi roda menerusi program i-wheel chair, pelbagai aktiviti pembangunan komuniti sama ada program anjuran YWP atau dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sehingga kini, terdapat lapan buah MINT yang aktif beroperasi di beberapa kawasan Parlimen dengan peruntukan yang disediakan oleh YWP sebanyak RM50,000 setiap tahun bagi setiap MINTS. Program tersebut bakal diperluaskan lagi ke kawasan lain.

Antara lokasi MINTS yang terdapat di Kuala Lumpur ialah di PPR Kerinchi, PPR Kampung Limau, PPR Pantai Ria, PPR Seri Cempaka, masing-masing di Parlimen Lembah Pantai; PPR Desa Tun Razak (Bandar Tun Razak), PPR Hiliran Ampang (Titiwangsa), PPR Sungai Bonus dan PPR Kampong Bharu Air Panas di Setiawangsa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas