Berita

Peluang semua waris miliki hartanah

INILAH-antara-rumah-tradisi-yang-bakal-dikekalkan-dalam-pelan-pembangunan-Kampung-baru
INILAH-antara-rumah-tradisi-yang-bakal-dikekalkan-dalam-pelan-pembangunan-Kampung-baru
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:09 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Pemba­ngunan semula Kampung Baru yang direncanakan pihak kerajaan membuka peluang kepada keseluruhan pemilik termasuk waris mempunyai hak pegangan atau harta persendirian.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pembangunan tersebut membolehkan kesemua pihak yang mempunyai pegangan di tanah Kampung Baru mempunyai aset ma­sing-masing berbanding pada masa ini hak pemilikan perlu dikongsi.

Malah katanya, dakwaan bahawa orang Melayu diusir adalah tidak tepat berikutan inisiatif kerajaan itu dapat membawa lebih ramai orang Melayu iaitu pemilik serta pewaris untuk turut berada di dalam tanah seluas kira-kira 200 ekar.

“Kalau sekarang, pemilik ada 20 orang, tidak bermakna 20 orang itu duduk bersama, semestinya hanya satu keluarga sahaja. Jika ia dibangunkan, semua pemilik yang 20 orang boleh duduk di situ sekali gus menjadikan jumlah penduduk Melayu bertambah.

“Kita berikan peluang untuk semua pemilik duduk di situ ataupun kalau tak nak duduk di situ, dia boleh memiliki harta yang sudah dipecah-pecahkan dengan nilai yang sama malahan dengan nilai yang bertambah,” katanya dalam program Temubual Jom Channel baru-baru ini.

Menurut Khalid, sekiranya tanah tersebut dimajukan, pemilik tidak semestinya perlu melepaskan hak milik sepenuhnya.

Jelas beliau, sebagai contoh sekiranya tanah tersebut bernilai RM8 juta, penduduk boleh mengambil wang tunai RM2 juta dan selebihnya digunakan untuk membeli aset di dalam pembangunan yang dirancang.

Ujarnya, bilangan orang Melayu yang kaya dan berharta juga akan bertambah kerana hartanah yang ada itu dapat dicair dan dibahagikan sama rata.

Mengulas tentang sama ada mustahil atau tidak untuk membangunkan Kampung Baru, beliau berkata, dakwaan tersebut tidak berasas kerana lokasi itu sama seperti kawasan lain tetapi mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu mestilah dimiliki orang Melayu.

“Sekiranya dikaitkan dengan elemen sentimental, sukar mahu berbicara kerana kalau kita tawarkan banyak manapun mereka tidak akan terima.

“Cadangan ini harus mereka terima dan tidak menggunakan sentimental itu untuk menghalang mereka daripada mengekalkan suasana kekampungan,” jelasnya yang akan membuat perjumpaan bersama pemilik dan waris tanah Kampung Baru pada 21 September ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut dijadual hadir pada pertemuan tersebut. Wilayahku difahamkan pada pertemuan tersebut, kerajaan akan mengumumkan tawaran baharu bagi projek pembangunan semula Kampung Baru kepada pemilik dan waris tanah di kawasan tersebut.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas