Artikel

Selepas ‘kematian’ Utusan Melayu

BANGUNAN lama Utusan Melayu merupakan memorial pendiri sejarah kewartawanan Melayu negara ini, selepas Cecil Street di Singapura, di situlah tempatnya wartawan Melayu mengepak sayap membina pemikiran bangsa.
- Diterbit 10 Jun 2022 7:00 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

KETIKA itu pukul 12.05 tengah malam 10 Oktober 2019. Sehari sebelum itu, 9 Oktober adalah hari terakhir bagi warga Utusan Melayu kerana syarikat berusia 81 tahun itu akan ditutup. Petugas diarah meninggalkan bangunan Utusan Melayu pada 9 Oktober atau selewat-lewatnya 10 Oktober.

Walaupun saya telah meletak jawatan pada 1 April 2016 tetapi tidak pernah ‘putus’ dengan Utusan Melayu. Lebih separuh daripada usia saya – 32 tahun empat bulan dihabiskan di rumah pusaka bangsa itu. Malah di situ juga ‘universiti’ saya.

Malam itu saya memandu menyusur Jalan Utusan, kemudian berhenti betul-betul di depan pintu pagar ibu pejabat setinggi lapan tingkat itu.

Suasana suram. Hanya dua tiga lampu sahaja yang terpasang. Beberapa anggota Polis Bantuan masih berada dalam pondok kawalan.

Dari bilah-bilah pintu pagar nampak ruang lobi yang kelam dan sunyi. Saya berlama-lama sambil menelan kesunyian, kepedihan sesekali marah. Kemudian mundar-mandir di depan pintu pagar, tenggelam dalam suram dan pilu yang tajam.

Jalan dan halaman bangunan yang basah menambah sayu dan bungkam. Tengah malam itu terakam dalam ingatan perihal tragedi yang merempuh syarikat Melayu itu hingga tumbang. Syarikat yang diasaskan oleh anak muda Melayu, Yusof Ishak akhirnya mati.

Malam itu saya menziarahi kematiannya yang diiringi hujan renyai yang membungkam.

Kemudian bergerak menyusuri Jalan Lima dan berhenti di sebelah belakang bangunan. Jalannya agak sibuk, lori simen hilir mudik dan sesekali disulam kenderaan lain. Bangunan tempat letak kereta bertingkat di belakang tempat saya berdiri gelap dan sunyi.

Jalan Lima yang dibasahi hujan sejak senja masih berbekas. Lopak-lopak kecil menakungkan air, permukaan jalan berkilau dipanah cahaya yang kecil dari bangunan utama.

Apabila ada lori simen datang dari arah depan, wap di permukaan jalan ditembusi cahaya lampu lori dan berkabus. Saya berlama-lama di tepi jalan yang membahagikan bangunan lama dan baharu.

Saya pernah bekerja di kedua-duanya. Bangunan lama gelap gelita, penuh dengan pokok liar. Ada pokok tumpang bertenggek di dinding yang retak.

Bangunan itu mula digunakan pada 1959 selepas pusat operasi Utusan Melayu berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Bangunan lama itu terbiar selepas operasi syarikat berpindah pula ke bangunan baharu pada 2014.

Dalam kegelapan di depan bangunan lama, ada semacam layar putih yang menayangkan semula keletah ketiga-tiga anak yang sering datang ke pejabat itu. Di sebelah kanan pintu masuk itu, dulunya ada pondok pengawal.

Malam itu dari seberang jalan saya melihat bangunan lama Utusan Melayu dalam kesayuan. Menyusur malam semakin tua, sunyi dan suram pun kian terasa.

Lampu-lampu dulunya sentiasa terpasang, kini dipadam. Bagaikan sudah terputus dari galur sejarah pendiri Utusan Melayu zaman silam.

Segenap penjuru bangunan itu ada sejarahnya. Dihuni oleh tokoh-tokoh yang melakar sejarah. Ada sejarah negara, tidak kurang juga sejarah bangsa ketika usia merdeka masih muda.

Semua itu tidak ada di bangunan baharu lapan tingkat yang tersergam di belakang tempat saya berdiri.

Bangunan buruk itu terbiar sepi dimamah usia. Saya percaya akan terus terbiar. Itu memorial pendiri sejarah kewartawanan Melayu negara ini. Selepas Cecil Street di Singapura, di situlah tempatnya wartawan Melayu mengepak sayap membina pemikiran bangsa.

Di situ ada duri dan api. Banyak keringat dan air mata tumpah mempertahankan pusaka Melayu itu daripada diredah ‘jentolak politik’ pada 1961. Itulah mogok Utusan Melayu yang berlangsung selama 90 hari.

Memorial ini pernah diduduki oleh tokoh besar Yusof Ishak pengasas Utusan Melayu di Singapura. Pernah menjadi gedung wartawan-wartawan besar dan pemberani – Said Zahari, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Keris Mas, Melan Abdullah, Mazlan Nordin dan banyak lagi.

‘Jentolak politik’ membuatkan banyak yang terbuang dan terus hilang. Tetapi masih ada yang terbuang tetapi terus terbilang.

Sosok-sosok inilah yang memberi nilai dan tingkah berani Utusan Melayu pada tahun-tahun penuh luka dan gelora.

Tetapi kemerdekaan telah menghadiahkan ‘jentolak’ pada Utusan Melayu. Terlalu banyak sejarah yang dilalui tetapi tidak banyak terkumpul dan dibaca semula oleh generasi kini.

Di bangunan inilah mengalirnya air mata Yusof Ishak apabila syarikat itu jatuh ke tangan borjuis politik. Beliau yang mengasas Utusan Melayu tahun 1938 kemudian menjadi suara Melayu yang garang menentang penjajah.

Jauh sebelum tumbuhnya gerakan politik Melayu bernama UMNO. Malah orang seperti Yusof Ishak yang menjadi pendorong lahirnya UMNO pada 1946.

Pada satu catatan sejarah, Mei 1959 Yusof Ishak terpaksa meninggalkan ‘anaknya’ Utusan Melayu selepas negara merdeka. Borjuis politik Melayu mengirimkan ‘jentolak’ untuk mengambil Utusan Melayu. Anak-anak Utusan Melayu pun tidak ada pilihan – mereka bangkit melawan.

Tapak bangunan lama itu dulunya dikelilingi kilang dan bengkel buruk, sesetengahnya haram. Tidak ada Melayu melintas di situ kerana semua bengkel dipunyai oleh orang Cina. Bangunan lama itulah yang membawa orang Melayu ke kawasan itu.

Memang bangunan itu sangat uzur. Tetapi kenangan tetap jernih dan manis. Dalam keuzuran itu saya melihat dunia, keluar dari lingkaran kampung yang terkepung.

Walaupun hanya dua tingkat, tetapi itulah menara tertinggi pernah saya berdiri untuk melihat horizon kemanusiaan dan vertikal Sang Pencipta.

Bangunan lama itu terlalu rapat dengan keluarga saya. Ketiga-tiga anak saya; Ku Amirul, Ku Nurul Izzah dan Ku Nurul Afiqah sangat akrab dengan pejabat lama itu.

Di situlah tempat mereka bermain, menyorok dan berkejar-kejaran di celah-celah meja di Jabatan Pengarang apabila saya bekerja pada hujung minggu.

Mereka menyaksikan sendiri cara saya bekerja, daripada menggunakan mesin taip hingga awal zaman komputer.

Di situlah mereka menyelami kehidupan kerjaya saya yang sentiasa tidak cukup masa untuk bersama-sama. Kerana itu jugalah tumbuh rasa memiliki mereka pada organisasi tempat saya cari mencari rezeki membesarkan mereka.

Kenangan saya juga menjadi milik mereka bertiga. Kini, dua daripada mereka sudah berkeluarga, tetapi masih masih ingat gelagat zaman kanakkanak di bangunan lama. Mereka rasa sangat dekat dan sekali gus memiliki Utusan Melayu. Bangunan buruk itu sangat manis dalam kenangan mereka dan juga saya.

Malam itu apabila berpaling ke bangunan baharu lapan tingkat, keadaannya juga sama – sepi dan suram. Sesuram bangunan lama yang terbiar.

Mulai malam itu saya seperti rakan-rakan yang lain yang berdepan kehilangan. Kami kehilangan semuanya kecuali jasa Utusan Melayu dan kenangan yang tidak pernah dipadam zaman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas