Artikel

Jom terokai keindahan Pulau Langkawi

||||
- Diterbit 24 Jun 2022 2:30 AM MYT

MEMILIKI tiga taman georimba iaitu Machinchang Cambrian Geoforest Park, Kilim Karst Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park serta formasi batu tertua di Asia Tenggara, Pulau Langkawi adalah destinasi percutian yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing untuk bercuti bersama keluarga, kawankawan dan insan tersayang.

Anda pasti teruja kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik untuk diterokai, bukan sahaja berjalan kaki di bawah sinaran mentari di Pantai Cenang, malah pengunjung boleh berlibur di Air Terjun Telaga Tujuh atau menikmati keindahan pemandangan paya bakau yang memukau.

Langkawi merupakan sebahagian daripada 99 gugusan pulau di Laut Andaman yang telah diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark pertama di Asia Tenggara sejak tahun 2007. Landskap kars pulau ini pula terbentuk daripada hakisan dan formasi batuan sejak 550 juta tahun lalu.

Kepelbagaian biodiversiti pulau ini merangkumi hutan batu kapur, hutan batu pasir, hutan granit dan paya bakau. Machinchang Cambrian Geoforest Park pula merupakan satu-satunya georimba di dunia yang terbentuk daripada batu pasir.

Kini pengunjung boleh menikmati keindahan panorama 360 darjah Langkawi dari puncak Machinchang melalui perkhidmatan kereta kabel SkyCab. Bagi melengkapkan lagi percutian anda di Langkawi, Wilayahku senaraikan beberapa destinasi dan aktiviti menarik yang boleh diterokai.

Ayuh bersama-sama teroka dan rasai sendiri pengalaman percutian menarik di Langkawi. Untuk maklumat lanjut sila layari www.malaysia.travel dan akaun media sosial Tourism Malaysia.

Pulau Tuba

LUPAKAN bangunan pencakar langit dan bandar yang sesak dengan menuju ke Pulau Tuba, sebuah lokasi ‘hidden gem’ yang terletak kira-kira lima kilometer dari arah selatan Langkawi.

Cara terbaik untuk meneroka perkampungan nelayan yang indah ini adalah dengan menyewa basikal, van atau menaiki bot dari Jeti Pekan Rabu. Untuk merasai pengalaman santai dalam suasana mendamaikan, pengunjung boleh menikmati pemandangan sawah padi selain menyaksikan kerbau-kerbau berkeliaran di jalanan atau rumah-rumah kampung yang penuh warna-warni di Desa KEDA Teluk Berembang.

Selain itu, anda boleh memilih untuk melakukan aktiviti pendakian di Bukit Licin, meneroka Gua Wang Buluh dan Gua Kelawar, menelusuri Hutan Bukit Kecik untuk menyaksikan keajaiban geologi yang memukau atau menikmati mi udang di Tanjung Pandan.

Untuk pengalaman mengelilingi pulau yang menarik, anda boleh mencuba aktiviti Safari Jet Ski Pulau Dayang Bunting yang dikendalikan secara profesional oleh Mega Water Sports di Pantai Cenang. Pengalaman meredah Laut Andaman selama empat jam ini bakal membawa anda ke lapan buah pulau sebagai kawasan persinggahan termasuk Pulau Dayang Bunting, Beras Basah, Singa Besar, Rebak Besar serta The Fjords of Langkawi.

Jelajah Pekan Kuah dan Laman Padi

LUANGKAN masa anda sehari dengan bersiar-siar di Pekan Kuah yang sebelum ini merupakan perkampungan nelayan dan kini telah berubah wajah menjadi destinasi tumpuan pelancong bagi aktiviti beli-belah di pulau bebas cukai itu. Antara barangan yang wajib dibeli dalam kalangan pelancong tempatan termasuklah coklat, peralatan dapur serta minyak wangi. Tarikan destinasi pelancongan lain yang terdapat di Pekan Kuah termasuklah Dataran Lang, Balai Seni Negara Langkawi dan Menara Maha.

Bukan itu sahaja, anda boleh menikmati sajian dengan berlatarkan sawah padi di Restoran Kerisik, Laman Padi yang terletak berhampiran Pantai Cenang dengan pelbagai sajian tradisional Melayu serta aneka menu pilihan termasuklah set Nasi Tuba, set Nasi Padang Lalang, set Nasi Sunda dan set Nasi Kendawang. Pemandangannya amat memukau pada waktu malam.

Kereta Kabel Langkawi

MENAIKI kereta kabel SkyCab di bawah kendalian Panorama Langkawi akan memberi anda pengalaman menakjubkan pada ketinggian 708 meter dari paras laut. Terletak di sebelah barat pulau, perjalanan ini menelusuri jajaran sepanjang 2.2 kilometer yang menghubungkan stesen permulaan di kaki Gunung Machinchang sehingga ke stesen akhir di puncak.

Selain kereta kabel, pengunjung juga boleh bersiar-siar sambil menikmati pemandangan di atas Sky Bridge (jambatan rentang bebas dan melengkung terpanjang di dunia) iaitu sepanjang 125 meter.

Tarikan aktiviti lain yang turut ditawarkan oleh Panorama Langkawi termasuklah SkyRex, Oriental Village, 6D Cinemotion dan 3D Art Langkawi.

Kubang Badak BioGeo Trail

LAWATAN ke Langkawi mungkin tidak lengkap jika tidak meneroka ke Kubang Badak BioGeo Trail yang terdiri daripada 12 lokasi berbeza untuk diterokai dengan menaiki bot dari Jeti Kubang Badak.

Terletak di pantai barat laut Langkawi, kawasan ini kaya dengan kepelbagaian khazanah geologi serta sejarah kependudukan masyarakat Siam menerusi penemuan peninggalan tanur arang berbentuk kubah yang dibina di kawasan hutan paya bakau dan berusia lebih 100 tahun untuk penghasilan bahan bakar sekitar abad ke-18.

Menariknya, destinasi ekopelancongan terbaru di Langkawi ini telah menerima pengiktrafan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Gold Awards 2021 di bawah kategori warisan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas