Artikel

Penyewa rumah PPR hutang RM50 juta

MEMBAYAR sewa adalah kewajipan penyewa sebagai balasan memperoleh unit rumah untuk diduduki dan akan digunakan untuk keperluan penjagaan dan penambah baikan di PPR jika berlaku masalah berbangkit seperti lif rosak, mengecat semula bangunan dan sebagainya.
- Diterbit 10 Jun 2022 5:16 AM MYT

PENGHUNI di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur berhutang sebanyak RM50 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam bentuk tunggakan sewa. Terkedu bagai tidak percaya Adi apabila membaca laporan thesundaily.my mengenai isu ini.

Jumlah RM50 juta terlalu besar. Jumlah tunggakan begitu banyak kerana telah terkumpul sejak bertahun-tahun lalu tanpa tindakan serius diambil untuk memungutnya.

Kerana itu pada pandangan Adi, pihak penyewa dan DBKL sama-sama menjadi punca ini berlaku. Pertama, sikap penyewa yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Mereka enggan menjelaskan sewa walaupun sewa PPR rendah dan sangat berpatutan iaitu RM124 sebulan.

Kedua, sikap DBKL yang tidak bertindak tegas dari awal dan membiarkan penyewa terus menerus culas membayar sehingga berlarutan begitu lama. Akibatnya jumlah hutang semakin berlonggok.

Dilaporkan, hanya 50 peratus daripada penyewa PPR yang taat membayar sewa daripada 38,000 penyewa keseluruhannya. Dianggarkan lebih daripada 21,000 penyewa berhutang antara RM1,000 hingga RM10,000 kepada DBKL.

Kediaman PPR dan Perumahan Awam (PA) adalah usaha DBKL untuk menyediakan kediaman mampu sewa untuk golongan berpendapatan rendah, di tengah-tengah kehidupan kota yang serba mencabar serta kos kehidupan yang tinggi.

Golongan ini tidak mampu menyewa kediaman lebih mahal, tambahan lagi perlu memenuhi pelbagai keperluan perbelanjaan lain. Kerana itu kerajaan melalui DBKL berusaha membantu meringankan beban mereka dengan membina lebih banyak PPR atau PA bagi memenuhi keperluan mendesak golongan ini.

Memang diakui tidak semua yang berpendapatan rendah dapat menyewa PPR atau PA. Ini kerana persaingan begitu sengit. Jumlah permintaan jauh melebihi bekalan. Sekali pun rumah-rumah seperti ini terus dibina, permintaan terus menerus meningkat menyebabkan senarai menunggu sentiasa panjang.

Justeru mereka yang telah terpilih mendiami PPR mesti bersyukur di sebalik ramai lagi yang gagal. Pendek kata mereka adalah kelompok terpilih. Oleh itu apabila sudah diberi tempat berlindung, berteduh daripada hujan dan panas, tanamlah sikap bertanggungjawab dan berterima kasih. Bayarlah sewa setiap bulan tanpa gagal.

Memetik jurucakap DBKL, tempoh paling lama penyewa tidak membayar sewa ialah 12 tahun. Purata tempoh tidak membayar sewa pula ialah antara tujuh hingga 12 tahun. Bayangkan tinggal di PPR tetapi selama 12 tahun tetapi tidak peduli membayar sewa. Alangkah teruknya sikap penyewa sementara DBKL bagai membiarkan sahaja tanpa tindakan.

Apa yang Adi sedih ialah membaca laporan bahawa bagi kebanyakan penyewa, membayar sewa PPR bukan keutamaan. Yang lebih utama ialah membayar untuk keperluan lain seperti pinjaman bank ataupun bil-bil utiliti.

Bagi mereka pinjaman bank mesti dibayar tepat waktu. Pinjaman kereta, perabot atau pinjaman lain mesti dibayar setiap bulan. Jika pinjaman kereta tidak dibayar, bimbang kereta akan ditarik, begitu juga pinjaman perabot. Bil utiliti jika tidak dibayar pula boleh menyebabkan bekalan air dan eletrik dipotong.

Pandai pula mereka memastikan segala pinjaman lain dibayar tanpa bertangguh. Tahu pula malu jika kereta atau perabot ditarik balik, atau bekalan eletrik dan air dipotong.

Sebaliknya tidak pula malu gagal membayar sewa PPR sebanyak RM124 sebulan dan menganggap ia bukan keutamaan serta boleh dilakukan kemudian bila ada lebih pendapatan. Adi perhatikan ramai penyewa PPR ini pun hidup selesa. Kereta menjalar sehingga tidak cukup tempat parkir.

Tetapi bila bab sewa, buatbuat lupa. Bertahun-tahun tidak membayar. Ada yang membayar sekali dalam empat bulan setelah mendapat notis daripada DBKL. Ada juga yang membayar setahun sekali pada penghujung tahun. Ini jelas menyerlahkan sikap tidak peduli pada tahap melampau.

Bagi mereka tidak mengapa membayar sewa lewat atau tertunggak lama kerana DBKL pun tidak bertindak menuntut sewa berkenaan. Kerana itulah mereka menjadi semakin senanglenang lantaran tahu walau tidak membayar sewa tidak akan disuruh keluar dari unit kediaman.

Pada Adi, sikap penyewa ini sebenarnya adalah kerana salah DBKL sendiri. Apabila tidak bertindak, DBKL seolah-olah memberi lampu hijau kepada penghuni untuk tidak membayar sewa. Pihak DBKL dilihat seperti memanjakan penyewa.

Buktinya, walaupun sehingga 12 tahun tidak membayar sewa, tiada tindakan diambil, kecuali mungkin sekadar memberi notis. Bayangkan berhutang purata antara tujuh hingga 12 tahun tetapi dibiarkan. Hairan Adi, kenapa DBKL mengambil pendekatan terlalu lembut?

Sepatutnya selepas dua bulan tidak bayar, surat peringatan dan amaran diberi. Jika terus degil enggan membayar, layak diminta mengosongkan rumah. Biasanya inilah klausa jika menyewa rumah di mana-mana pun.

Biarkan mereka yang degil ini keluar kerana masih ramai yang menunggu. DBKL juga tidak harus rasa bersalah atau terlebih simpati kerana penyewa sendiri tidak bersimpati dengan diri sendiri. Sikap mereka merosakkan nama baik penyewa yang selama ini membayar dengan setia.

Adi difahamkan, baru-baru ini DBKL melalui Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar menganjurkan ‘Program Pertemuan Dengan Penduduk’ di salah sebuah PPR di ibu kota. Tujuannya untuk bersemuka dengan penyewa degil yang mempunyai tunggakan sewa terlalu tinggi.

Baguslah DBKL mula mengambil pendekatan serius dalam mendepani masalah ini. Purata hutang tertunggak penyewa degil ini antara RM10,000 hingga RM47,000, tertunggak antara tujuh hingga 12 tahun.

Adi berharap program ini memberi kesedaran dan keinsafan kepada penyewa agar segera melunaskan hutang tertunggak. Jangan nanti salahkan DBKL seandainya ia bertindak terhadap mereka. Cukuplah peluang dan tolak ansur yang diberi selama ini.

Pihak DBKL pula mesti tetap tegas bertindak ke atas penyewa ingkar. Lemah lembut dan terlebih bertimbang rasa tidak akan membantu menyelesaikan masalah. Adakala pendekatan drastik dan tegas lebih berkesan.

Membayar sewa adalah kewajipan penyewa sebagai balasan memperoleh unit rumah untuk diduduki. Kutipan sewa inilah yang akan digunakan untuk keperluan penjagaan dan penambah baikan di PPR jika berlaku masalah berbangkit seperti lif rosak, mengecat semula bangunan dan sebagainya.

Malah selalunya pihak kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan besar bagi tujuan ini. Sewa hanya sekadar menampung dan biasanya perlu ditambah dengan peruntukan tambahan oleh kerajaan.

Oleh itu Adi berharap penyewa dan DBKL sama-sama mengubah sikap dan pendekatan. Kepada penyewa bayarlah sewa pada waktunya. Kepada DBKL, bertindaklah apabila sewa tidak diterima.

Adi juga ingin menambah, penyewa bukan sahaja bertanggungjawab membayar sewa, tetapi mesti menjaga dengan baik unit kediaman. Pastikan unit dan persekitaran sentiasa bersih. Jaga segala kemudahan yang disediakan sebaik-baiknya. Jangan melakukan vandalisme terhadap harta awam, sebaliknya jagalah seperti harta sendiri.

Adi — Syukur ada rumah – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas