Berita

Selebriti, pendakwah memeriahkan sambutan Ramadan melalui KID 2021

|KERJASAMA penganjur
- Diterbit 3 April 2021 7:13 AM MYT

JIKA Ramadan tahun lalu disambut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik COVID-19, kali ini sambutan bulan mulia itu lebih meriah dengan penganjuran Konvensyen Islamik Digital (KID) 2021 oleh Pertubuhan Sayang Al Quran.

Program yang diadakan selama tiga hari dua malam bermula semalam hingga 4 April ini di Shaftsbury, Putrajaya ini bertemakan Di Ambang Cinta Ramadan.
Program ini bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Ramadan dengan pelbagai pengisian bermanfaat.

Apa yang istimewa, KID 2021 yang julung kali diadakan ini menampilkan ramai selebriti seperti Kid Search, Kumpulan nasyid Hijjaz, In-Team dan Rabbani.

Antara pendakwah terkenal yang turut terlibat adalah Ustaz Elyas Ismail, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Zul Ramli, Dai’ Hilman, PU Azhar; Ustaz Fadzli Aziz, Munsyideen, Ustaz Syed NorHisyam dan ramai lagi.

KERJASAMA penganjur, selebriti dan pendakwah satu langkah positif dalam menyemarakkan sambutan Ramadan.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Sayang Al Quran Tuan Mejar Qayyum A. Badaruddin, penglibatan selebriti dan pendakwah menarik lebih ramai masyarakat untuk sama-sama menjayakan program ini.

“Program sepanjang tiga hari dan dua malam itu diisi dengan pengisian seperti Cakna Minda, Akustika Nurani, Tadabbur Hati, Khalifah Muda, Pesta Ibadah, Tazkirah Diri, Jualan Amal dan Infaq Ramadan dijayakan bersama barisan penceramah dan selebriti popular tanah air.

“Mereka adalah antara tarikan utama untuk mengajak orang ramai tanpa mengira usia untuk menyertai program agama yang kami anjurkan.

“Dalam masa yang sama, KID juga memperkenalkan Konsep Tahfiz Kebajikan yang memberi ruang kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti fakir miskin, asnaf dan anak yatim mengikuti program MyQuran ini,”katanya pada sidang media program KID 2021 di Shaftbury, semalam.

Manakala Pengarah Program, Saiful Islam Mohd Nasser Al Haffiz berkata, pelbagai aktiviti diatur pihaknya yang boleh diikuti menerusi beberapa platform atas talian mahupun secara fizikal.

“KID 21 adalah program ilmuan secara digital dan fizikal yang akan menyatukan individu dalam pelbagai bidang.

“Aktiviti yang menarik untuk disertai termasuklah pertandingan azan, ceramah, motivasi, debat, kuliah agama serta perniagaan,” katanya.

Antara impak program yang diharapkan adalah mengeratkan hubungan rakyat Malaysia, menambahkan rasa cinta terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, memberi penekanan tentang kepentingan Al Quran dalam kehidupan seharian dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas