Berita

Selami makna persahabatan melalui empat filem ini

||||
- Diterbit 18 Julai 2021 6:20 AM MYT

BAGAIMANA rasanya tidak mempunyai rakan atau sahabat? Mungkin hidup semuanya hitam putih. Lebih bosan kerana anda tidak mempunyai tempat untuk berkongsi kegembiraan atau kesedihan. Mempunyai rakan adalah penting. Mereka boleh menjadi orang yang memahami keadaan kita.
Tidak hairanlah, ini sering dibawakan dalam siri atau filem. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penjagaan jarak satu meter kerana pandemik COVID-19 menjadikan kita tidak dapat bergaul dengan rakan-rakan pada hujung minggu dengan bebas seperti sebelum ini. Bagi mereka yang merindui sahabat, menonton filem mengenai persahabatan bersama rakan baik anda mungkin boleh menjadi hiburan yang menggembirakan.
Edisi kali ini, Wilayahku kongsikan antara filem yang boleh ditonton di Netflix dengan tema persahabatan bagi mengimbau kembali kenangan nakal, suka dan duka anda bersama sahabat-sahabat anda. Marilah kita doakan agar Malaysia kembali sembuh supaya kita dapat jalani kehidupan normal sebelum ini dan dapat berjumpa dengan rakan dan keluarga yang tersayang.

#1 The Fundamental of Caring

Pengarah: Rob Burnett
Pelakon: Paul Rudd, Craig Roberts, Selena Gomez

BERGENRE drama komedi jalanan Amerika yang dikeluarkan pada 2016. Mengisahkan seorang lelaki bernama Ben (Paul Rudd) yang juga seorang novelis. Hubungan rumah tangga yang tegang menjadikan Ben dan isterinya semakin jauh lalu si isteri meminta Ben untuk menceraikannya namun terus ditolak oleh Ben. Ben kemudian mengikuti kursus selama enam minggu untuk menjadi pengasuh berdaftar dan  diambil bekerja oleh majikan bernama Elsa yang mempunyai seorang anak kurang upaya bernama Trevor. Trevor menderita penyakit genetik yang disebut Duchenne Muscular Dystrophy (DMD). Penyakit ini menyerang otot, jadi otot dalam badan tidak dapat berfungsi dengan baik. Ben harus menjaga Trevor secara keseluruhan bermula dari menjaga makan, minum ubat, mandi dan membuang air kecil. Adalah sukar bagi Ben untuk mendekati dan memahami Trevor. Satu-satunya perkara yang dia tahu adalah keinginan Trevor untuk mengunjungi beberapa tempat pelancongan, salah satunya adalah tempat yang disebut Deepest Pit. Ben kemudian meyakinkan Elsa untuk memberi keizinan buat mereka mengembara. Trevor juga mula terbuka dan menjadi lebih rapat dengan Ben. Menjalin hubungan yang unik antara mereka, iaitu perpaduan persahabatan dan juga hubungan antara ayah dan anak. Trevor meluahkan hasratnya ingin berjumpa dengan ayah kandungnya yang telah meninggalkannya sejak berusia tiga tahun. Ben berhasrat untuk memenuhi impian Trevor semasa pengembaraan mereka. Bagaimana pengembaraan dan persahabatan antara Ben dan Trevor akan berakhir? Cerita yang bermain dengan emosi pastinya menarik untuk ditonton bersama rakan baik anda pada hujung minggu ini.

#2 My True Friend

Pengarah: Atsajun Sattakovit
Pelakon: Mario Maurer, Natcha Janthapan

DIBINTANGI oleh Mario Maurer, seorang pelakon yang tampan dan berbakat sebagai Gun yang tidak menyukai kekayaannya kerana ia membuatkan orang tuanya sentiasa sibuk. Suatu hari, Gun telah menubuhkan sebuah kumpulan gangster bersama rakan-rakannya. Song adalah seorang pemuda tampan yang baru berpindah dari sebuah bandar ke Chiang Mai. Kehidupan Song pada awalnya seperti remaja biasa, berkawan, akhirnya jatuh cinta dan kemudian patah hati. Semuanya berubah ketika Song bertemu dengan seorang pemuda bernama Gun dan rakan-rakannya (Tod, Nick, Kla, Champ, Arm). Song yang dulunya seorang pendiam dan pengecut berubah secara drastik 180 darjah malah turut mengenali dunia pergaduhan dan samseng. Gun yang kaya raya mempunyai hobi berjuang tetapi tidak pernah terfikir untuk membunuh lawannya kerana baginya wang tidak dapat membeli segala-galanya termasuk kebahagiaan malah hanya membawa penderitaan. Gun sanggup melakukan apa sahaja untuk rakan-rakannya meskipun perlu mempertaruhkan nyawanya. Suatu hari salah seorang rakan mereka, Tod telah ditangkap oleh kumpulan besar bernama ‘Night Bazaar’ kerana telah memukul anak perempuan anggota dewan Chiang Mai disebabkan wang. Oleh itu, pemimpin ‘Night Bazaar’ meminta Gun untuk menghantar rakannya Song. Memetik pesanan Gun terhadap Song “Song.. anda harus ingat, kita adalah pejuang bukan samseng. Lelaki melawan sehingga menang, bukan membunuh.” Adakah Gun dan rakan-rakannya dapat mengalahkan kumpulan besar tersebut?

#3 Get Even

Pengarah: Holly Phillips
Pelakon: Kim Adis, Mia McKenna-Bruce, Bethany Antonia, Jessica Alexander

EMPAT pelajar sekolah elit iaitu Kitty Wei, Bree Deringer, Margot Rivers dan Olivia Hayes membentuk sebuah kumpulan bernama Don’t Get Mad (DGM) yang bertujuan untuk membalas pelaku pembuli yang sering berlaku di sekolah. Untuk mencapai tujuan mereka, mereka menyembunyikan identiti sebagai ahli kumpulan. Suatu hari, Ronny yang merupakan seorang pembuli ditemui mati dan di tangannya terdapat sehelai kertas yang bertuliskan DGM. DGM menyedari bahawa seseorang memerangkap mereka. Olivia disoal oleh polis sebagai orang terakhir yang mengambil gambar dengan Ronny sebelum dia meninggal dunia. DGM menyusun senarai orang yang disyaki. Pencarian pembunuh Ronny berterusan. Margot menggodam penghala wifi Ronny dan mendapatkan data. Di sebuah pesta, Mika naik ke atas pentas dan mendakwa bahawa Ronny pernah memanipulasinya dan keesokan harinya, dia ditemui mati di takungan. Dengan rasa bersalah atas kematian Mika, Kitty memutuskan untuk meninggalkan DGM. Pelbagai bukti muncul, tetapi pembunuh Ronny dan Mika masih bebas. Bolehkah DGM menyelesaikan teka-teki misteri yang ada? Terutama dengan masalah dalaman antara mereka berempat. Kisah yang terdapat dalam kisah ini, bukan kisah remaja biasa. Siri Get Even menjanjikan keseronokan bagi anda yang suka misteri. Saksikan bagaimana keempat-empat gadis berani ini mengungkap jenayah di sekolah mereka yang ditayangkan di Netflix anda sekarang.

#4 Someone Great

Pengarah: Jennifer Kaytin Robinson
Pelakon: Gina Rodriguez, DeWanda Wise, Brittany Snow

SOMEONE GREAT adalah filem komedi romantis yang meneroka bukan sahaja hubungan romantis, tetapi juga mengenai persahabatan antara wanita. Mengisahkan Jenny, seorang wartawan muzik yang tinggal di New York. Dia berjaya mendapatkan pekerjaan impiannya dengan Rolling Stone di San Fransisco. Malangnya, hubungan selama sembilan tahun bersama kekasihnya terputus begitu sahaja dan membuatnya rasa tertekan. Manakala kisah lain dua sahabatnya iaitu Erin dan Blair. Erin berkerja sebagai ejen hartanah, takut untuk mengaku perasaannya kepada kekasihnya dan Blair, seorang pengurus media sosial yang merasakan perlunya berpisah dengan kekasihnya kerana dia merasakan sudah tiada persefahaman. Jenny menghubungi rakan-rakannya setelah mengetahui mengenai siri konsert Neon Classic dan mencadangkan pengembaraan terakhir sebelum dia bergerak dan pada masa yang sama untuk meraikan babak baru dalam kehidupannya serta merawat hatinya yang terluka. Gadis gadis itu kemudiannya bertemu tetapi sukar mendapatkan tiket untuk konsert sepanjang hari. Banyak kisah yang berlaku di sini dan membuat mereka berjanji bahawa persahabatan mereka akan tetap kukuh walaupun Jenny harus pergi ke California. Saksikan hubungan persahabatan ketiga-tiga wanita ini di Netflix bersama rakan baik anda mungkin serba sedikit boleh mengimbau kenangan manis yang lalu.

– WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas