Berita

Jejak Prihatin: Penghubung kerajaan, miskin tegar

https://youtu.be/wXL8wzZdGMI
- Diterbit 18 Julai 2021 7:47 AM MYT

SUNGGUHPUN pelbagai bantuan dan inisiatif disediakan kerajaan demi membantu golongan rentan sepanjang tempoh penularan wabak COVID-19, namun masih ramai lagi yang terpinggir dan tidak menerimanya.

Justeru, bagi memastikan matlamat penyaluran bantuan tercapai khususnya di Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menubuhkan skuad Jejak Prihatin yang bertindak sebagai penghubung antara kerajaan dan kumpulan rentan termasuk individu terjejas pendapatan.

Program yang bermula secara rasmi pada 14 Julai itu juga membolehkan keadaan semasa rakyat dalam kesusahan dilihat secara lebih terperinci supaya bantuan yang disalurkan bersesuaian.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, Jejak Prihatin merupakan inisiatif untuk memastikan tiada siapa pun di kalangan rakyat dan warga Wilayah Persekutuan terutama di Kuala Lumpur tertinggal daripada bantuan yang disalurkan kerajaan.

Tambah beliau, ia juga bagi mengetahui keadaan rakyat yang dalam kesusahan agar kerajaan dapat menyelaraskan pelbagai bantuan bagi menentukan ia sampai kepada kelompok yang memerlukan.

“Kita tahu jumlah pelbagai pakej (yang diumumkan kerajaan) telah bernilai lebih RM500 bilion, bermula tahun lalu sehingga PEMULIH (Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi). Tidak pernah dalam negara kita sebegini banyak bantuan dikeluarkan kerajaan.

“Tetapi jangan menafikan kemungkinan ada juga kelompok-kelompok yang terpencil, tidak sampai, terlepas pandang dan sebagainya. Jadi sebagai usaha untuk memastikan tiada yang tertinggal, saya menggerakkan 4,000 sukarelawan dan semua ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP),” tegasnya.

PANTAU RAKYAT SECARA TERUS – ANNUAR

PROAKTIF dalam memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima bantan kerajaan, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menubuhkan pasukan Jejak Prihatin yang membolehkannya menjejaki dan mengetahui keadaan golongan rentan secara bersemuka.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, progam yang bermula secara rasmi pada 14 Julai lalu itu dilihat sebagai pelengkap bagi usaha kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk kumpulan sasar sekali gus dapat memastikan ia sampai terus kepada mereka.

Berkata mengenainya, beliau memberitahu, Jejak Prihatin digerakkan kira-kira 4,000 individu terdiri daripada Sukarelawan Prihatin (PriVo) dan ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP), yang diselaraskan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Jelas beliau, kesemua terlibat akan bergerak dari pintu ke pintu untuk menjenguk secara fizikal apakah keadaan keluarga miskin tegar mahupun miskin bandar di Kuala Lumpur di samping mengenal pasti keperluan serta permasalahan yang dihadapi.

“Mereka akan diberikan nombor untuk dihubungi supaya orang susah tidak rasa malu untuk memohon bantuan. Sukarelawan dan MPPWP juga akan mengutip data mereka untuk dihimpunkan di Rumah Prihatin yang turut dijadikan sebagai pusat dua hala iaitu menyampaikan serta mengutip maklumat, (sebelum) disusuli dengan tindakan.

“Mereka juga akan melihat beberapa perkara antaranya adakah keluarga miskin itu sudah mendapatkan vaksin. Pelaksanaan dilakukan secara berperingkat yang mana fasa pertama bermula 14 hingga 28 Julai ini,” katanya selepas memantau pelaksanaan Program Jejak Prihatin pada Rabu di RumahPrihatin@GrandSeasons, Kuala Lumpur.

Menurut Annuar, bagi pusingan pertama, pasukan Jejak Prihatin akan menemui 7,000 keluarga yang sudah dikenal pasti daripada senarai miskin tegar dan miskin Jabatan Perdana Menteri (JPM) manakala lebih 7,000 lagi berasaskan senarai yang digunakan Kementerian Kewangan dalam Program Prihatin Kasih.

Ujar beliau, daripada pelaksanaan itu, sukarelawan terlibat akan turut menjadi penghubung antara Rumah Prihatin dan keluarga miskin bandar terutamanya di Wilayah Persekutuan.

“Jadi dengan program ini, saya harap kita dapat dengar keluh kesah rakyat secara langsung bukan lagi tunggu rakyat datang kepada kita tetapi kita pergi kepada rakyat secara berterusan.

“Saya harap sentuhan ini akan sampai kepada setiap rumah yang telah kita kenal pasti dan diharapkan maklumat yang kita nak kumpulkan nanti dapat membantu kita membuat tindakan susulan antaranya termasuklah aspek kesihatan mental,” jelasnya.

Terdahulu, pemantauan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas