Berita

Selamat maju jaya buat calon SPM

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Januari 2024 11:50 PM MYT

MENTERI Pendidikan Fadhlina Sidek mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bermula esok hingga 7 Mac.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fadhlina turut mendoakan kejayaan semua calon yang menduduki peperiksaan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menerusi Facebook beliau  turut merakamkan ucapan sama kepada calon SPM 2023.

“Semoga memperoleh kecemerlangan dan kejayaan. Selamat Maju Jaya!,” kata Dr Zaliha dalam hantarannya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut tidak ketinggalan mengambil peluang mengeluarkan video pendek sempena calon SPM yang akan menduduki peperiksaan bertulis itu esok.

Di dalam video berdurasi satu minit 21 saat itu, Tengku Zafrul meminta para calon SPM usah mensia-siakan peluang yang ada dan meminta mereka berusaha sehabis baik demi masa depan.

“Sekolah itu tujuannya nak jadikan kita insan yang seimbang, tahulah serba serbi pasal dunia ini. Jadi kita belajarlah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan subjek-subjek lain sebagai persediaan.

Bila kita dah tamat alam persekolahan, Insya-Allah ilmu yang kita ada itu akan memudahkan kita untuk memilih karier yang sesuai,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.

Baru-baru ini tular beberapa pempengaruh media sosial mengganggap hadir ke sekolah adalah satu pembaziran dan SPM tiada sebarang nilai langsung kerana tidak membantu dalam kehidupan mereka.

Secara keseluruhan, seramai 395,870 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara yang berlangsung dari 8 Jan hingga 7 Mac depan, melibatkan tiga jenis ujian iaitu ujian bertutur, mendengar dan peperiksaan bertulis. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas