Berita

Sektor tenaga sumbang hampir 80 peratus jumlah pembebasan gas rumah kaca

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 8 Mac 2024 10:40 PM MYT

SEKTOR tenaga termasuk sektor bekalan elektrik menyumbang hampir 80 peratus daripada jumlah pembebasan gas rumah kaca (GHG) di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata kementeriannya bertekad meneruskan usaha mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik selain komited dalam pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara.

“Berdasarkan komitmen serta inisiatif tersebut, sektor bekalan elektrik dijangka berupaya mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus pada 2025 dan 60 peratus pada 2035 berbanding intensiti pada 2005.

“Langkah ini selaras dengan komitmen negara di bawah Perjanjian Perubahan Iklim Paris untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45 peratus menjelang 2030,” katanya semasa berucap pada Majlis Apresiasi Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 di sini hari ini.

Fadillah berkata bagi mewujudkan ekosistem pelaburan hijau serta pembangunan teknologi termaju yang kondusif, PETRA akan memfokuskan kepada usaha mengurangkan jejak karbon negara melalui langkah peralihan tenaga, dengan menumpukan pelaksanaan inisiatif 3D iaitu Digitalisation, Decentralisation dan Decarbonisation.

Pada ucapan itu, Fadillah turut menyentuh lima dasar progresif dalam pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara antaranya meningkatkan campuran kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050 berbanding 25 peratus pada masa ini.

Ia turut melibatkan pembangunan program dan inisiatif khas bagi memperbanyakkan penyertaan industri tempatan dalam penjanaan dan pembelian bekalan tenaga elektrik hijau serta memuktamadkan penggubalan Rang Undang-undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga.

Menyentuh NEA 2023, Fadillah berkata sebanyak 114 penyertaan diterima yang merekodkan pengurangan penggunaan tenaga kumulatif melebihi 1.4 gigaWatt, bersamaan dengan penjimatan bil elektrik melebihi RM200 juta (pada tarif semasa) dan pengurangan pelepasan karbon melebihi 23,000 tan metrik setahun.

NEA 2023 melibatkan empat kategori antaranya Pengurusan Tenaga, Bangunan Cekap Tenaga dan Tenaga Boleh Baharu dengan pemenang telah diumumkan pada Ogos tahun lepas.

Sebanyak 23 pemenang NEA mewakili Malaysia di Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2023 dan berjaya memenangi 12 anugerah.

“Pencapaian pemenang NEA 2023 membuktikan Malaysia berjaya mewujudkan industri tenaga boleh baharu (TBB) tempatan berdaya maju dengan pemain tempatan yang kompeten, berkelayakan dan kompetitif,” katanya. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas